Thursday 6 December 2012

MB laksana Dasar Pencahayaan Negeri

RASAH - Idea untuk melaksanakan Dasar Pencahayaan Negeri (DPN) tercetus tiga tahun lalu selepas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan membaca berita tentang kemalangan jalan raya yang berpunca daripada jalan gelap kerana ketiadaan lampu.

Mohamad berkata, kematian seorang bilal sebuah masjid di Johol,
Kuala Pilah pada 2008 kerana terlanggar babi hutan ketika menunggang motosikal untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat subuh telah membuatkan beliau bertekad untuk melaksanakan DPN.

"Saya dukacita kerana kejadian itu berlaku akibat jalan gelap dan saya tidak mahu berlaku lagi terutamanya kerana kita berada di zaman moden ini dengan segala kemajuan dan kemakmuran yang telah dinikmati," katanya ketika berucap melancarkan program Group Relamping anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Dewan Orang Ramai Taman Tuanku Jaafar di sini semalam.

Menurutnya, sejak tiga tahun lalu, peruntukan yang besar telah disalurkan bagi menjayakan DPN.

Katanya, sebanyak RM17 juta diperuntukkan bagi menjayakan DPN tahun ini yang dilaksanakan secara berperingkat membabitkan beberapa jenis jalan termasuk negeri, bandar, taman dan kampung.

Tambahnya, keutamaan akan diberikan di persimpangan tiada lampu, kawasan Felda, taman perumahan, lorong belakang dan lokasi yang sering berlaku kemalangan jalan raya.

"Pada akhir 2014, kita harap lampu jalan ini dapat dipasang di kawasan kampung," ujarnya.

Mohamad menarik perhatian, sehingga kini sebanyak 123,000 lampu jalan telah dipasang di bawah projek tersebut berbanding 70,000 buah pada tahun pertama pelaksanaannya.

"Tahun depan, kita akan meletakkan bajet yang besar untuk projek ini dan saya telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mengambil bahagian," katanya.

Jelasnya, mesyuarat Majlis Tindakan Negeri minggu lalu juga telah mengarahkan PBT memasang lampu jalan jenis LED berkuasa 230 watt.

Beliau berkata, pemasangan lampu jalan juga telah mengurangkan kadar kes jenayah dan orang ramai lebih yakin untuk keluar rumah bagi melakukan pelbagai aktiviti.

© Utusan Melayu (M) Bhd


No comments: