Saturday 22 December 2012

Perbaiki kelemahan perkhidmatan awam - MB

SEREMBAN - Meskipun prestasi perkhidmatan awam di negeri ini berada pada tahap memuaskan, namun masih ada ruang yang boleh diperbaiki ke arah memberikan khidmat terbaik, berkualiti dan efisien kepada orang ramai.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha tersebut selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk terus mengekalkan momentum prestasi kerja penjawat awam yang telah banyak melalui perubahan sekali gus melonjakkan pencapaian sektor awam di negeri ini.

"Saya amat berpuas hati dengan prestasi kerja para penjawat awam di negeri ini yang jauh berbeza jika dibandingkan ketika saya mula mentadbir negeri ini.

"Sebagai contoh, kalau dahulu pungutan cukai tidak sampai 70 peratus, tetapi kini sudah mencecah 95 peratus, surat aduan serta rungutan daripada orang ramai pun sudah berkurangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bonus penjawat awam di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini, kelmarin.

Namun begitu, Mohamad menegaskan, penjawat awam masih mempunyai ruang yang boleh diperbaiki dan dipertingkatkan seperti perkhidmatan di kaunter-kaunter kerajaan.

"Ini adalah salah satu usaha yang membuktikan bahawa penjawat awam dapat menghayati apa yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menjalankan transformasi kerajaan," ujarnya.

Mengulas lanjut berhubung pemberian bonus, Mohamad menjelaskan, ia secara tidak langsung membuktikan bahawa kerajaan mempunyai tahap pengurusan ekonomi yang amat baik.

"Gaji penjawat awam dipotong sehingga 50 peratus di Greece, Sepanyol pula mencecah 30 peratus, malah senario ini turut berlaku di Itali termasuk pencen mereka juga dikurangkan.

"Tetapi di negara ini, kita masih mampu memberi bonus kepada penjawat awam. Ini turut menafikan dakwaan pembangkang yang kita tidak mempunyai duit untuk membayar gaji penjawat awam," tambahnya.

Semalam kerajaan negeri menyalurkan bonus sebanyak RM10.9 juta kepada 6,786 penjawat awam di seluruh negeri ini.

Mohamad Hasan (tengah) bersama sebahagian kakitangan kerajaan selepas majlis penyampaian bonus penjawat awam di Dewan MPS, Seremban, kelmarin.



Sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: