Monday, 31 December 2012

2013 tahun mendakap puncak jaya

SEREMBAN - Tepat jam 12 tengah malam ini, seluruh dunia mengucapkan selamat tinggal pada tahun 2012 dan selamat memasuki 2013 tahun baru yang diharap mencapai puncak jaya.

Di sebalik pelbagai acara sambutan yang dibuat seluruh dunia, kerajaan negeri bertambah komited memikirkan masa hadapan rakyat agar tahun 2013 dapat menyaksikan pembaharuan dalam semua aspek pembangunan dan kehidupan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, empat perkara akan diberi penekanan pada 2013 iaitu mensejahterakan rakyat, menarik pelabur baru serta memperkukuhkan pelabur sedia ada, memantapkan modal insan dan kerohanian serta mempercekapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Katanya, kesejahteraan rakyat tidak sahaja dirujuk pada peningkatan tahap ekonomi terutamanya pendapatan, malahan mencakupi kesejahteraan dari segi sosial dan kehidupan.

“Ini termasuklah kesegeraan dalam membaik pulih laluan, jalan masuk, sistem perparitan, jambatan, rumah dan sebagainya," katanya di sini hari ini.

Maka aspek pembangunan dan pengurusan Indeks Kesejahteraan Rakyat ini akan terus diberi tumpuan melalui komponen yang berkaitan kualiti hidup rakyat.

Fokus kerajaan negeri akan menjadi lebih menyeluruh dengan menyaksikan peningkatan dalam pendapatan, persekitaran kerja, pengangkutan dan komunikasi, kesihatan, pendidikan, perumahan, alam sekitar, penyertaan sosial, keselamatan awam, pelaburan, pelancongan, pertanian dan modal insan.

Dalam Dasar Jaringan Keselamatan Sosial pula, sehingga 31 Oktober 2012, seramai 32,806 orang telah diberikan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Kemajuan Orang Asi (Jakoa).

“Penyaluran wang bantuan kepada penerima tersebut dalam tahun 2012 telah melibatkan peruntukan berjumlah RM12.511 juta," katanya.

Ujar Mohamad, bagi memastikan rakyat yang benar-benar perlu dibantu itu mendapat pembelaan, maka peruntukan yang disediakan di bawah JKM ditambah dari RM8.925 juta pada 2012 kepada RM9.310 juta bagi tahun 2013.

Mengenai perumahan mampu milik pada tahun 2013, projek berkenaan diteruskan termasuklah Program Perumahan Rakyat (PPR) Ladang Siliau, Port Dickson dan Rantau yang menyediakan 300 unit rumah untuk golongan berpendapatan rendah selain berusaha membaik pulih keselesaan kediaman di Rumah Awam Harga Rendah dan Rumah Pangsa Kerajaan Negeri.




YAB Menteri Besar bersama pemilik rumah di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Berkualiti Taman Abok Jaya, Di Taman Abok Jaya, Rahang, Seremban, Pada 11 Disember 2012, lalu.
“Kita menyokong usaha Kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang disasarkan pembinaannya di negeri ini sebanyak 1,200 unit pada tahun 2013," ujarnya.

Dalam soal pencahayaan negeri katanya, sebanyak 10,000 tiang lampu disasarkan bagi tujuan berkenaan dengan RM1 juta diperuntukan pada tahun 2012 dan RM4 juta disediakan bagi fasa kedua pada tahun ini.

Mohamad berkata, kerajaan negeri juga akan meneruskan strategi menggalakkan pelaburan baru, selain memastikan pelabur sedia ada menambah pelaburan mereka.

“Penambahbaikan akan terus dilakukan pada sistem penyampaian perkhidmatan dan mengurangkan kerenah birokrasi serta memberi perhatian terhadap pelaburan berteraskan teknologi tinggi dan hijau," jelasnya.

Bagi aspek modal insan dan kerohanian, kerajaan negeri mahu melihat modal insan dilahirkan itu cukup berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing, serta pada masa yang sama berpegang teguh kepada ajaran agama.

“Selaras dengan dasar kerajaan negeri menjadikan negeri ini sebagai Lembah Ilmu, maka tumpuan tentulah diberikan kepada aspek pendidikan, sama ada sekolah, kolej mahupun universiti dan institusi pendidikan yang lain.

“Kehendak kita adalah melahirkan cendekiawan, ilmuwan dan teknokrat yang dapat mengisi pelbagai jawatan penting negara, selain membantu memacu negeri ini ke era kemajuan global, sebagaimana suatu ketika dahulu negeri ini muncul pengeluar modal insan cerdik pandai," katanya.

Kata Mohamad, segala yang dilakukan itu adalah berpaksikan pada usaha memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat dengan janji ditepati.


Sumber © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: