Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kaedah konvensional yang diguna pakai sebelum ini mungkin tidak lagi relevan berikutan peralihan dalam suasana baharu kini iaitu ketika manusia semakin laju mencari ilmu.
''Perubahan cara ibu bapa berfikir juga merupakan satu transformasi yang dapat membentuk corak dan kehidupan anak-anak kita agar mereka lebih bijak bertindak, kuat jati diri dan kukuh pegangan agamanya," katanya.
Mohamad berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Membina Keluarga Harmoni Masyarakat Sejahtera Negara Maju Peringkat Kebangsaan di Golden Straits Villa Beach Resort, Port Dickson, dekat sini baru-baru ini.
Katanya, biarpun negara diledakkan dengan perubahan deras teknologi maklumat, sentuhan manja, kemesraan tutur kata, layanan baik dan nasihat ibu bapa perlu dari semasa ke semasa.
''Biarpun kita menggunakan elemen kemanusiaan dan sentuhan peribadi kepada anak-anak selain didikan agama, ia perlu ditangani dengan melihat kepada suasana hari ini selepas pelbagai maklumat boleh diakses dan dicapai dengan teknologi.
''Jangan kita menuding jari menyalahkan anak-anak kita jika tidak berjaya atau bermasalah, sebaliknya tanya diri sendiri sejauh mana kita telah melalui proses perubahan dalam mendidik anak," katanya.
Katanya, kemajuan teknologi tidak mampu disekat maka untuk membezakan baik atau buruk, ilmu adalah kuncinya.
''Bila anak kita ada kefahaman terhadap agama, maka mereka boleh mara ke hadapan tanpa perlu risau, walaupun betapa hebatnya gelombang teknologi yang mendatang," tegas Mohamad.
No comments:
Post a Comment