Tuesday 11 December 2012

NegeriFM pungut derma untuk Aman Palestin

SEREMBAN  - Prihatin dengan nasib saudara Islam di Gaza, Palestin, Radio Malaysia Negeri FM melancarkan tabung Aman Palestin dalam usaha mengumpul dana untuk membantu meringankan penderitaan rakyat di Semenanjung Gaza.

Pengarah Penyiaran negeri, Norbaiyah Baharudin berkata,
tabung itu bertujuan memupuk kesedaran dan mengajak lebih ramai masyarakat bersama-sama membantu rakyat Palestin.

"Kita berasa terpanggil untuk sama-sama memberi dan mengutip sumbangan bagi membantu penduduk di Semenanjung Gaza yang dizalimi rejim Zionis.

"Kita berharap usaha ini mendapat sambutan daripada masyarakat kerana kekejaman Israel terhadap penduduk Gaza adalah masalah sejagat yang perlu diambil perhatian," katanya selepas Majlis Perasmian Tabung Aman Palestin itu di Kompleks Pusat Kraftangan Negeri Sembilan, di sini kelmarin.

Majlis berkenaan dilancarkan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Mohamad Ali Mad Jais dan turut dihadiri Timbalan Pengarah Penyiaran negeri, Siti Mohani Saad.

Turut diadakan dalam majlis itu adalah persembahan amal seperti deklamasi sajak dan nyanyian artis jemputan seperti kumpulan Raihan, Rosyam Nor dan Yassin.

Seorang ahli Kelab Pemilik Motosikal Daerah Seremban (SDMC) turut dilepaskan dalam program itu untuk menjelajah ke seluruh negara bagi membuat kutipan Tabung Aman Palestin.

Norbaiyah berkata, kutipan itu akan berterusan sehingga tahun depan dan sokongan padu daripada orang ramai adalah amat diharapkan bagi mengisi tabung kemanusiaan Aman Palestin tersebut.

"Hari ini kita berjaya mengumpul lebih RM1,000 sumbangan daripada Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan serta orang ramai.

"Kita berharap usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu rakyat di Gaza meneruskan kehidupan mereka dengan lebih baik," katanya.



Sumber: utusan.com.my

No comments: