Monday, 4 February 2013

Pelancaran My Beautiful peringkat Negeri Sembilan

TELOK KEMANG - Amalan kesukarelaan dalam hidup perlu diteruskan kerana nilai mulia itu mencerminkan sikap tanggungjawab terhadap persekitaran, kemanusiaan serta kehidupan sejagat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sikap berkenaan harus menjadi budaya kehidupan supaya rasa prihatin terhadap sesuatu isu itu dapat ditangani secara bersama dalam suasana baik dan harmoni.

''Dalam kita melakukan kerja sukarela ini, ia boleh dibuat di mana-mana. Sama ada menjaga kebersihan, mengindahkan negara dan tempat tinggal, mahupun kawasan riadah.

''Sebuah negara yang aman dan damai juga mengambil kira aspek kebersihan ini dan sebab itulah kesukarelaan juga wajar dipupuk untuk merasa sensitif dalam persekitaran yang kotor agar dibersihkan bersama," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran My Beautiful Malaysia peringkat negeri di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson dekat sini hari ini.

Katanya, elak bersikap terlalu berkira dalam menjaga kebersihan ini kerana ia adalah hak dan kerja semua pihak.

''Hari ini kita lihat begitu ramai tenaga muda bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelaan. Ini menunjukkan sudah wujud perasaan tanggungjawab yang menebal terhadap negara yang kita cintai ini.

''Belia mahu bersama-sama memastikan kesejahteraan rakyat dan menjaga kebersihan ini adalah satu elemen ke arah masyarakat yang sihat. Kita mahu melihat gelombang belia ini bangkit untuk sama-sama mensejahterakan rakyat," ujarnya.

Sementara itu, seorang remaja, David Law Kai Xuan, 17, berkata, aktiviti ini memberi impak dalam mendidik masyarakat terhadap pentingnya sifat kesukarelaan dalam menjaga kebersihan negara.

''Sebelum ini, kita merasakan kerja pembersihan harus dilakukan orang tertentu. Sebaliknya kita perlu amalkan kerja itu bersama-sama," ujarnya.

Seorang lagi remaja, J. Patricia Viver, 17, berkata, dengan melibatkan ramai belia dalam aktiviti seumpama itu dapat mengeratkan hubungan pelbagai kaum.

''Aktiviti ini memang menyeronokkan kerana dapat menambahkan kenalan malah turut mengeratkan hubungan antara satu sama lain," ujarnya.

Rakannya, Noor Hashimah Roslan, 17, berkata, program itu sangat menarik dan berfaedah dalam mendidik orang ramai supaya peka kepada kebersihan alam sekitar.

''Program seumpama ini harus diterapkan agar dapat mendidik setiap lapisan masyarakat agar mencintai aktiviti kesukarelaan," ujarnya.

Sumber © Utusan Melayu (M) Bhd

Sebahagian daripada belia mengibarkan Jalur Gemilang pada pelancaran program My Beautiful Malaysia Peringkat Negeri Sembilan di Pantai Cahaya, Port Dickson, semalam


No comments: