Wednesday 20 February 2013

Sepak Takraw Piala MB N.Sembilan Sabtu Ini

SEREMBAN: Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) akan menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Negeri Sembilan merebut Piala Menteri Besar Negeri Sembilan di Centre Court, Kompleks Sukan Negeri, Paroi di sini Sabtu ini.

Anggota jawatankuasa publisiti kejohanan Mohd Zahir Mohd Noor berkata kejohanan yang julung kali diadakan itu khusus untuk pemain yang berasal, bermaustatin dan bekerja di negeri ini.

"Dua kategori yang dipertandingkan pada kejohanan ini ialah antara regu terbuka dan antara regu bawah 18 tahun. Pertandingan antara regu bawah 18 tahun bertujuan mencari pemain berpotensi untuk mewakili Negeri Sembilan pada Sukan Malaysia akan datang," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Beliau berkata juara kategori antara regu terbuka akan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, tempat kedua RM1,500, tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM500 manakala tempat kelima hingga kelapan RM200.

Mohd Zahir berkata bagi kategori antara regu bawah 18 tahun, johan akan menerima RM500, naib johan RM300, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing RM100.

Yuran penyertaan untuk kategori antara regu terbuka ialah RM30 setiap regu manakala penyertaan bagi kategori antara regu bawah 18 tahun adalah percuma.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Mohd Zahir di talian 019-2048457.-BERNAMA

No comments: