Tuesday, 26 February 2013

Jangan anggap semua tindakan kerajaan tidak betul

SEREMBAN  - Rakyat terus diingat supaya tidak terpedaya dengan dakyah segelintir pihak yang menggunakan pelbagai kaedah untuk menegakkan fahaman dan ideologi semata-mata serta mahu memburu kuasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, akibatnya golongan ini akan
melakukan apa sahaja untuk membayangi kepimpinan hari ini sehingga mengganggu-gugat keharmonian yang telah dibina selama ini bagi mencapai maksud peribadi.

''Janganlah kita bersikap prejudis dan menganggap semua tindakan dan susulan kerajaan tidak betul, kerana sikap sebegini hanya akan menguntungkan pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri.

''Kerajaan mempunyai tanggungjawab besar untuk memenuhi keperluan rakyat tanpa mengira kepentingan kaum, agama, bahasa mahupun latar belakang dan pegangan sahsiah.

''Kerajaan mengamalkan sikap terbuka terhadap cadangan dan teguran jika wujud sebarang kelemahan terhadap dasar-dasar yang direncanakan," katanya.

Mohamad berucap dalam majlis santapan negeri sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang ke-65 di Klana Resort, dekat sini kelmarin.

Yang turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta Tunku Besar Seri Menanti, Tengku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Yang turut hadir Undang Luak Sungai Ujong, Dato' Klana Petra, Dato' Mubarak Dohak; Undang Luak Johol, Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Dato' Mohd. Jan Abdul Ghani; Undang Luak Jelebu, Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman, Dato' Musa Wahab; Undang Luak Rembau, Dato' Lela Maharajalela, Dato' Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Kata Mohamad, jika ada teguran yang dibuat rakyat, hendaklah dibuat mengikut saluran yang baik dan bersifat konstruktif dan berpandukan peraturan serta menjunjung kedaulatan undang-undang negara ini.

''Dalam hubungan ini, kita tidak semudah itu merelakan diri dipengaruhi anasir luar dan pihak bersekongkol dengan mereka di negara ini, yang cuba merosakkan kesejahteraan dan keharmonian negara melalui pendekatan luar batasan sehingga menyanggah tatasusila yang telah lama kita warisi ini," tegas beliau.

Sehubungan itu, katanya, rakyat hendaklah sentiasa mengamalkan kesederhanaan dengan berfikir secara logik dan rasional, berpijak di atas bukti dan kenyataan, bukannya dengan perasaan.

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bersama Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud diiringi Mohamad Hasan bersalaman dengan tetamu pada majlis santapan negeri sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-65 di Klana Resort dekat Seremban, kelmarin.


Sumber: Utusan Online

No comments: