Monday, 25 February 2013
Karnival Jelebu berjaya eratkan hubungan kaum
JELEBU - Lebih 3,000 membanjiri kawasan Karnival Jelebu 1Malaysia dalam usaha mengeratkan hubungan kaum, selain memperkenalkan produk pengusaha tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat berkata, program itu berlangsung sejak Khamis lalu dan berakhir semalam, berjaya menarik ramai pengunjung pelbagai kaum ke karnival berkenaan.
Jelasnya, karnival ini melibatkan 30 jabatan kerajaan, selain 80 pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), yang mana memberikan akses kepada pengunjung untuk mendapatkan produk terus daripada pembuatnya.
''Kita mengetengahkan aktiviti rakyat serta acara bola sepak. Kita libatkan Persatuan Orang Kerdil Malaysia dan menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 kepada 620 penerima.
''Sebanyak 50,000 benih ikan lampam telah pun dilepaskan di Sungai Klawang," katanya di sini hari ini.
Seorang pengunjung, Noradibah Mohd. Rashid, 24, memberitahu, melalui karnival ini dia memperoleh banyak pengetahuan berkaitan produk tempatan.
''Ini adalah gelanggang mempromosikan produk tempatan dan bagi yang belum mengetahui hasilnya, mereka sepatutnya datang dan membeli produk itu. Ada yang lebih baik daripada produk import," katanya.
Pelajar, Mohd. Aizat Murad, 20, memberitahu, jika kita berjaya melakukan promosi dengan baik, tidak mustahil produk tempatan ini akan memecah pasaran dunia.
"Masa itu, kita akan lihat pada pelekat Made In Jelebu. Tentulah kita berbangga." ujarnya.
Pegawai tentera, Mejar Mohd. Ziarul Aflah Mohd. Fadzil, 34, menjelaskan, karnival ini merupakan tempat di mana rakyat boleh mengetahui dasar dan pelaksanaannya.
''Saya positif terhadap apa juga yang dilakukan oleh kerajaan demi kebaikan kepada rakyat. Semua yang dianjurkan ini nyata memberikan kesudahan yang baik iaitu lahirnya rasa tanggungjawab sesama rakyat dan perpaduan dapat dieratkan.
''Pandang dari sudut positif penganjuran dan inilah cara penduduk tempatan dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka," katanya.
Labels:
BERITA N9,
EVENT,
PELANCONGAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment