Thursday, 21 February 2013

Pasar Komuniti dan Karavan mula operasi 3 Mac


SEREMBAN – Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar) yang terletak di jalan Seremban - Kuala Pilah, Paroi, dekat sini, akan bermula operasi pada 3 Mac depan.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) negeri, A Rahaman Suleiman, berkata,
pasar yang baru siap dibina itu akan menempatkan seramai 100 peniaga yang akan berniaga pelbagai barangan setiap hari kecuali Isnin.

“Pasar Komuniti yang bernilai RM3.4 juta ini dijangka akan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 16 Mac ini.

“Segala persiapan sudah dilakukan dan para peniaga akan memulakan operasi perniagaan mereka pada 3 Mac depan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Bangunan Pakar daripada kontraktor kepada Fama Negeri, di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan sebanyak RM60,000 hingga RM100,000 hasil jualan sebulan.

“Pasar tani diadakan Rabu dan Jumaat dari jam 7 pagi hingga 2 petang; pasar malam (Selasa dan Ahad, 4 petang–12 malam); pasar sehari (Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad, 7 pagi–2 petang), Uptown (Jumaat, Sabtu dan Ahad, 4 petang–3 pagi) dan pasar borong, Selasa hingga Ahad dari jam 4 pagi hingga 7 pagi,” katanya.

No comments: