Wednesday 20 February 2013

Istana Ampang Tinggi diwarta bangunan warisan.

SEREMBAN – Istana Ampang Tinggi Muzium Negeri Sembilan dan Rumah Tradisional Negeri Sembilan diwartakan sebagai bangunan warisan oleh Jabatan Warisan Negara di sini, kelmarin.

Pewartaan tersebut bagi mengiktiraf kedua-dua bangunan warisan berkenaan agar bangunan dapat terpelihara dalam satu tempoh lama dari sebarang bentuk kemusnahan.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Drs Shamsuddin Ahmad berkata, sebelum ini, Istana Lama Seri Menanti, Kuala Pilah dan Bangunan Sekolah Menengah King George V telahpun diwartakan sebagai bangunan warisan pada 2008.

Wakil Pengarah LMNS, Kurator Muzium Negeri, Aziz Mohd Gorip (kanan) menerima Plak Bangunan Warisan daripada wakil Jabatan Warisan Negara, Nik Redzuan Salleh.
“Kali ini, Istana Ampang Tinggi Muzium Negeri dan Rumah Tradisional Negeri Sembilan pula mendapat pewartaan tersebut hasil daripada permohonan dibuat pada 2009 sebelum penilaian secara menyeluruh dilaksanakan Jabatan Warisan Negara,” katanya di sini, kelmarin.

Menurut Shamsuddin, bagi proses pewartaan tersebut, senarai monumen dan tapak bersejarah akan diteliti serta diperincikan merangkumi pelbagai aspek ditumpukan, termasuk senibina, pemilikan monumen, lot tanah, keadaan fizikal serta latar belakang bangunan.

“Apabila kedua-dua bangunan tersebut diwartakan sebagai bangunan warisan oleh Jabatan Warisan Negara, kita amat berbesar hati kerana ia sudah tentu akan memberi impak yang baik ke atas sektor pelancongan di negeri ini.

“Bagaimanapun, ada juga sebahagian daripada bangunan lain, antaranya seperti Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Ampangan turut mendapat pengiktirafan tersebut, namun tiada penyerahan secara rasmi dibuat setakat ini,” katanya.

Beliau berharap agar lebih banyak lagi bangunan-bangunan lama mendapat pewartaan untuk diiktiraf sebagai bangunan warisan kerana apabila diwartakan bangunan tersebut ia akan menjadi tarikan bagi pelancong.


Sumber - SH

1 comment:

Anonymous said...

adakah istana ampang tinggi ini bangunan bersejarah?pd setiap hari apa dan pukul berapa dibuka