Thursday 7 March 2013

Lebih 95 peratus kes Mal diselesaikan.

SEREMBAN - Jabatan Kehakiman Syariah negeri ini berjaya menyelesaikan kes Mal berkaitan tuntutan kekeluargaan dan harta benda, melebihi 95 peratus sejak dua tahun kebelakangan ini.

Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Mohd. Shukor Sabudin berkata, pada tahun 2011, jabatan ini telah menerima pendaftaran sebanyak 5,246 kes Mal dan hampir 97 peratus iaitu 5,077 kes berjaya diselesaikan.

''Orang ramai membuat permohonan kes untuk didengar sama ada di Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah berasaskan bidang kuasa yang diberikan oleh undang-undang dan perlembagaan selaras dengan kehendak prinsip Islam yang terkandung dalam al-Quran, as-Sunah, ijmak dan qias," katanya di sini hari ini.

Beliau berucap dalam Majlis Pentauliahan 39 Peguam Syarie Negeri yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan turut dihadiri Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia cawangan negeri, Hanif Hassan.

Kata Mohd. Shukor, pada tahun lalu, sebanyak 5,075 kes Mal telah didaftarkan dan hampir 96 peratus atau 4,876 kes berjaya diselesaikan.

''Kes jenayah pula berjumlah 1,103 telah didaftarkan tahun lalu dan 67 peratus atau 749 kes diselesaikan," ujar beliau.

Mengenai Majlis Sulh yang membolehkan pihak mengalami pertikaian mencapai persetujuan secara damai tanpa perlu menjalani proses perbicaraan di mahkamah, Mohd. Shukor berkata, sebanyak 1,113 kes telah menjalani proses tersebut pada tahun 2011.

''Hampir 98 peratus telah diselesaikan di peringkat Majlis Sulh manakala pada tahun lalu, sebanyak 1,052 kes menjalani proses ini dan hampir 96 peratus diselesaikan," tegas beliau.

Beliau berkata, bahagian sokongan keluarga berperanan memberi khidmat nasihat berkaitan perintah nafkah serta tatacara penguatkuasaan dan pelaksanaan penghakiman selepas perintah mahkamah dikeluarkan.

''Pada tahun 2011, sebanyak 110 kes telah didaftarkan di mahkamah melalui bahagian ini dan hampir 45 peratus diselesaikan.

''Tahun lalu, 92 kes didaftarkan dan kita menyelesaikannya 100 peratus," tegas Mohd. Shukor.

RAMAH... YAB Dato' Seri Hj.Mohamad Hj Hasan bersama sebahagian daripada 39 para peguam ketika di  Majlis Pentauliahan  Peguam Syarie Negeri Sembilan, semalam.



Sumber © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: