Sunday 10 March 2013

MB gesa guru agama bimbing anak bangsa seeloknya.

SEREMBAN - Semua guru agama di negeri ini berperanan untuk membimbing anak bangsa dengan menyalurkan pengajaran yang baik dan bukannya menjadi pencemar kepada ideologi sempit pihak yang berkepentingan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, generasi masa kini memerlukan bimbingan dan perlu diberi penerapan dengan pemikiran yang terbuka dalam mengharungi dunia yang kini semakin kompleks. Sehubungan itu katanya, profesion perguruan dilihat amat penting dalam kehidupan masyarakat apatah lagi merekalah yang paling hampir dengan anak-anak selain daripada ibu bapa.

''Kita tidak mahu warga pendidik menjadi makhluk perosak seperti langau tetapi sebaliknya guru perlu menjadi garam yang dapat memperbaiki keadaan.

''Bimbing dan ajarlah elok-elok supaya kehadiran mereka dapat memberi erti untuk hidup bernegara supaya kita dapat hidup sebagai satu masyarakat yang aman dan damai," katanya.




Mohamad berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Saguhati Bagi Guru-Guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) Negeri Sembilan di Klana Resort dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Razak Mansor, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Yusoff Ahmad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JHEAINS), Datuk Johani Hassan.

Pada majlis tersebut, kumpulan guru agama daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Agama Rakyat dan KAFA di 287 buah sekolah di seluruh negeri ini menerima saguhati bernilai RM800 setiap seorang.

Jelas Mohamad, penyampaian sagu hati itu diberikan sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) kepada guru-guru dalam usaha mendidik anak agar cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik malah dalam bidang agama.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Pengerusi MAINS menyeru Sekolah Agama Rakyat (SAR) menyertai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan berdaftar dibawah Kementerian Pelajaran bagi mendapat kemudahan dan peruntukkan yang disediakan oleh kerajaan.


Sumber © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: