Wednesday 13 March 2013

Laluan bas awam ditambah


SEREMBAN  - Kerajaan negeri mengambil inisiatif mempertingkatkan tahap perkhidmatan pengangkutan bas awam menerusi pembukaan beberapa laluan baharu yang dikenal pasti di sekitar bandar ini dan Nilai.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha itu bertujuan memberikan perkhidmatan pengangkutan awam yang komprehensif, pantas dan efisien kepada orang ramai.


"Kita akan laksanakannya selepas kerajaan membuat kajian terperinci dan mendapatkan input serta maklum balas daripada orang ramai mengenainya pada minggu hadapan.

"Kita sudah mengenal pasti laluan baharu ini yang kebanyakannya membabitkan kawasan taman perumahan di Seremban dan Nilai," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pegawai Yang Ditempatkan di Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan, di Klana Resort, di sini hari ini.

Menurut Mohamad, laluan baharu perkhidmatan bas berkenaan akan ditentukan selepas menerima input dan persetujuan bersama pemimpin masyarakat, persatuan bas, pertubuhan bukan kerajaan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)

"Selepas kita putuskan laluan tersebut, kita akan menyerahkan kepada pihak SPAD untuk menentukan syarikat atau konsesi bas yang akan bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan itu,'' katanya.

"SPAD akan menanggung kos perkhidmatan tersebut dari segi pemberian subsidi kepada syarikat yang bakal dilantik itu," katanya.

Tambahnya, buat masa ini, perkhidmatan pengangkutan bas awam di negeri ini dijalankan syarikat bas henti-henti, Cityliner yang menawarkan khidmat di kawasan tertentu.

"Penambahan laluan baharu ini juga merupakan salah satu usaha mengintegrasikan perkhidmatan pengangkutan awam menerusi pelaksanaan projek Seremban Sentral.

"Kita buat semua ini demi kesejahteraan orang ramai sekali gus mengurangkan beban mereka, kerana kemudahan bas ini akan menghubungkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan lain seperti teksi dan komuter di Seremban Sentral kelak," ujarnya.

Sumber © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: