SEREMBAN - Sebuah galeri Islam yang menyimpan segala artifak dan bahan ilmiah akan diwujudkan di negeri ini sebagai langkah mencambahkan ilmu dalam kalangan orang ramai.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan mengenainya masih di peringkat kajian, namun sebuah bangunan warisan sedang diperhatikan untuk menjadikan idea berkenaan satu realiti kelak.
"Buat masa ini, kita dapati bangunan Mahkamah Syariah sedia ada bersebelahan Masjid Negeri sesuai dijadikan galeri dan perpustakaan Islam.
"Apabila Jabatan Kehakiman Syariah negeri berpindah ke bangunan barunya di Sendayan tidak lama lagi, kita akan melihat kesesuaian untuk mengubahsuai bangunan itu dijadikan galeri iaitu dewan pameran dan perpustakaan Islam, yang akan menyimpan pelbagai koleksi buku, kitab lama, artifak dan sebagainya," ujarnya ketika di Majlis Perasmian Karnival Sains Islam Negeri Sembilan 2013/1434H.
Di Kompleks Belia Dan Sukan Paroi, semalam.
Majlis bertemakan Alam Semesta Untuk Pendidikan yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berlangsung selama tiga hari sehingga hari Ahad ini.
No comments:
Post a Comment