Thursday 14 March 2013

NS perhebat sosioekonomi pekebun kecil getah

SEREMBAN  - Kerajaan negeri akan memperhebatkan kempen penggunaan bahan rangsangan lateks kepada pekebun kecil dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya akan menjalankan kerjasama dengan RISDA bagi menjayakan usaha tersebut yang akan melibatkan sebanyak 44,105 pekebun kecil getah dan sawit di negeri ini.
''Daripada jumlah itu, hanya empat peratus yang menggunakan bahan rangsangan tersebut.

''Saya yakin dengan perancangan dan strategi yang diadakan oleh RISDA, akan dapat membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat pekebun kecil di negeri ini," katanya dalam Majlis Pelancaran Kempen Penggunaan Bahan Rangsangan di Kampung Siliau dekat sini hari ini.

Mohamad berkata, pekebun kecil akan diberi pendedahan tentang kepentingan pengunaan bahan rangsangan yang meningkatkan penghasilan lateks.

Tambah beliau, langkah itu dapat menjana produktiviti getah ke paras optimum dan berharap peluang itu tidak dilepaskan oleh pekebun kecil.

''Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membantu golongan berpendapatan rendah seperti pekebun kecil. Malah pada tahun ini sahaja pelbagai peruntukan telah disediakan oleh kerajaan," katanya.

No comments: