Friday, 29 March 2013

54 penduduk Rantau terima surat hak milik tanah


SEREMBAN - Kerajaan Barisan Nasional (BN) meneruskan amalan mensejahterakan rakyat melalui pemberian surat hak milik tanah kepada sebanyak 54 penduduk yang mendiami tapak lombong di Kampung Pasir Tengah dan Kampung Pasir Siliau, Rantau dekat sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemberian itu merupakan tanggungjawab kerajaan negeri selepas rakyat memberi kepercayaan terhadap kecekapan urus tadbir dan keprihatinan kerajaan negeri.


"Penduduk di situ telah menunggu lama untuk mendapatkan geran ini dan kerajaan BN telah memutuskan pemberian hak milik itu hanya kepada mereka yang mempunyai rumah dan duduk di kampung terbabit," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan surat hak milik di Kampung Pasir Linsum, Rantau, dekat sini, semalam.

Mohamad memberitahu, tanah lombong seluas lebih 16 hektar itu sebelum ini telah diteroka penduduk terbabit untuk dijadikan kawasan kediaman dan sebahagian daripadanya telah menerima surat hak milik berkenaan sebelum ini.

"Jangan salah faham, majlis ini bukan untuk orang datang minta tanah baharu," jelasnya.

Tambah Mohamad, walaupun masih ada nama yang sedang diproses atas sebab lot bertindih, belum membayar premium atau penawaran lot lain, kerajaan BN akan terus membantu memastikan penduduk di situ diberikan surat hak milik.

Sementara itu, penduduk yang menerima surat hak milik tersebut melahirkan rasa gembira dan menganggapnya sebagai penantian yang berbaloi.

Penduduk, M. Ramalingham, 73 memberitahu, surat hak milik itu benar-benar melegakannya dan dia kini boleh membaik pulih rumah itu tanpa perlu bimbang jika diarahkan berpindah.

Sementara itu, Poon Yut Shee, 73 berkata, dia sudah 25 tahun menanti untuk mendapatkan surat hak milik tersebut.

''Saya bimbang status rumah ini tetapi apabila menerima surat berkenaan, segalanya sudah terjawab. Ini adalah hadiah kepada saya walaupun lama menunggu," katanya.

Bagi Fatimah Jantan, 62, dia berasa bertuah kerana terpilih menerima surat hak milik tanah tersebut dan akan diwarisi oleh tiga anaknya.

Sumber © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: