Thursday 21 March 2013

Keputusan SPM meningkat di NS

SEREMBAN - Sebanyak 747 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meraih keputusan cemerlang dengan memperoleh gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diambil tahun lalu.

Pengarah Pelajaran negeri, Kalsom Khalid berkata, daripada jumlah itu sebanyak 12 calon sekolah kerajaan berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh pangkat A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil mengikut penggredan baharu.

"Ini merupakan peningkatan dari tahun 2011 dengan 4.24 peratus memperoleh keputusan sedemikian manakala tahun lalu sebanyak 4.25 peratus," katanya di sini hari ini.

Kalsom bercakap kepada pemberita ketika mengumumkan keputusan SPM di Sekolah Menengah (SM) Sains Tuanku Munawir, dekat sini hari ini.

Katanya, Gred Purata Negeri (GPN) tahun lalu ialah 4.86 iaitu meningkat sebanyak 0.04 mata berbanding 2011 iaitu sebanyak 4.82 sekali gus menunjukkan negeri ini mengekalkan tahap kecemerlangan dalam peperiksaan nasional.

"Keseluruhannya, sebanyak 15,938 iaitu 90.9 peratus daripada 17,583 calon yang menduduki peperiksaan berkenaan tahun lalu layak mendapat sijil," jelasnya.

Mengenai prestasi sekolah mengikut kawasan bandar, nilai Gred Purata Sekolah (GPS) meningkat daripada 4.46 kepada 4.49 mata manakala pelajar cemerlang pula meningkat sebanyak 48 orang kepada 555 orang berbanding 507 orang pada 2011.

"Peratus calon yang layak mendapat sijil SPM juga meningkat kepada 0.1 peratus kepada 91.4 peratus manakala peratus calon lulus semua mata pelajaran menurun 0.1 peratus iaitu daripada 63.7 peratus kepada 63.6 peratus," katanya.

Bagi prestasi pelajar luar bandar, Kalsom memberitahu, secara keseluruhannya kumpulan itu menunjukkan prestasi baik berdasarkan calon lulus semua mata pelajaran yang meningkat sebanyak 0.2 peratus iaitu daripada 53.4 peratus kepada 53.6 peratus.

"Peratus calon layak mendapat sijil juga meningkat sebanyak 0.6 peratus iaitu daripada 89.8 peratus kepada 90.4 peratus," katanya.

- Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: