Tuesday 15 January 2013

Usaha lebih gigih demi capai pembangunan


KUALA PILAH  - Kerajaan negeri akan berusaha dengan lebih gigih bagi membolehkan semua program pembangunan dilaksanakan demi mencapai matlamat yang telah disasarkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau bersama keseluruhan anggota perkhidmatan awam di negeri itu akan terus menggembleng tenaga untuk merealisasikan semua perancangan khususnya Rancangan Malaysia Ke-10 berjalan lancar.

Beliau yakin semua perancangan itu akan dapat dicapai dengan kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada kakitangan awam di negeri ini.

"Hubungan akrab dan mesra yang selama ini terjalin pastinya mengukuhkan lagi jalinan silaturahim di antara rakyat dengan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan secara langsung akan menyemarakkan lagi hala tuju pentadbiran kerajaan bagi menempa kejayaan yang lebih cemerlang bagi tahun-tahun mendatang," katanya.

Mohamad berkata demikian ketika menyampaikan ucapan tahniah dan sembah taat setia sempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-65, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Balai Rong Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini, semalam.

Menurutnya, segala dasar dan program yang dilaksanakan kerajaan negeri sentiasa mendapat sentuhan nasihat dan pandangan daripada Tuanku Muhriz yang begitu prihatin terhadap semua perancangan demi memastikan ia menepati matlamat yang berasaskan kepada kesejahteraan rakyat.

Katanya, rakyat amat berbangga dan menjunjung kasih kerana Tuanku Muhriz yang sering turun padang untuk bersama dengan rakyat jelata bagi memahami dan mendekati hati mereka.- UTUSAN


Mohamad Hasan melihat Darjah Seri Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Terbilang (SSTM) yang diterima oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kanan) dan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (kiri) selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, semalam.


No comments: