Monday 10 December 2012

Rumah Pangsa Awam Akan Berubah Wajah - KPKT

Datuk Seri Chor Chee Heung
SEREMBAN, Kediaman rumah pangsa awam di seluruh negara yang sebelum ini sering dikaitkan dengan suasana tidak selesa dan kurang terurus bakal berubah wajah apabila projek Kejiranan Indah di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilaksanakan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, projek yang dilaksana menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-7 (NBOS 7), akan berkonsepkan kos minimum dengan keputusan yang maksimum.

"Pelbagai agensi di bawah kementerian bekerjasama melaksanakan projek ini dan sebagai projek perintis, kita telah membaik pulih Rumah Pangsa Lobak di sini di mana ia akan bertukar wajah baru.

"Rumah Pangsa Lobak ini akan menjadi satu kejiranan indah yang boleh dibanggakan berbanding imej sebelum ini yang sering dikaitkan dengan pelbagai masalah terutamanya sosial," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek membaik pulih Rumah Pangsa Lobak, di sini kelmarin.

Beliau berkata, projek membaik pulih rumah pangsa berkenaan iaitu membaiki dan menaik taraf sistem peparitan luaran, menurap jalan, menaiktaraf dewan orang ramai dan pengindahan landskap persekitaran berjaya dilaksanakan dengan cepat iaitu kira-kira tiga bulan dengan kos kira-kira RM4 juta.

Seramai 2,035 penghuni Rumah Pangsa Lobak di sini  gembira apabila menikmati hasil projek baik pulih kediaman tersebut yang dilaksanakan oleh kerajaan.

-- BERNAMA

No comments: