SEREMBAN - Rakyat terus diajak memacu negeri ini dalam nada harmoni dan saling hormat menghormati supaya kecemerlangan dapat terus dibina, sekali gus membawa kehidupan bertambah sejahtera dan kekal aman sentiasa.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keharmonian kaum perlu terus dikekalkan ketika negara sedang melalui fasa kedua era 50 tahun selepas kemerdekaan apatah lagi dalam memburu status negeri maju pada 2020.
''Rakyat negeri ini hendaklah sentiasa berusaha ke arah kemajuan yang bukan sahaja memberi status kehidupan lebih baik, bahkan bersama-sama memacu negeri ini ke arah yang lebih perkasa," katanya dalam perutusan tahun baru 2013 di sini.
Kata Mohamad, pencapaian cemerlang negeri ini sepanjang 2012 banyak didorong oleh kerja kuat seluruh rakyat negeri ini, lebih-lebih lagi dalam memastikan kesejahteraan semua kaum dibela sekali gus membawa mereka keluar daripada kemiskinan kepada keceriaan hidup.
''Kita mahu melihat rakyat hidup dengan lebih baik, pembangunan di luar bandar diperhebatkan, pelaburan terus diterima, infrastruktur dipertingkatkan, pendidikan diutamakan, kemiskinan dibantu dan aspek kerohanian serta jati diri diperkukuhkan," ujarnya.
Pada masa yang sama juga, Mohamad mengajak rakyat negeri ini terus mengamalkan perpaduan, sikap hormat menghormati antara kaum dan mengukuhkan kerjasama antara satu sama lain, bersesuaian dengan semangat 1Malaysia.
''Jangan sesekali kita memandang mudah perpaduan yang dikecapi kerana tanpa usaha dan persefahaman antara rakyat berbilang kaum dan agama, hasrat itu tidak akan tercapai," ujarnya.
Jelasnya, kerajaan sentiasa komited dengan program pembaharuan dalam semua bidang dan aspek kehidupan bagi merealisasikan kehendak dan aspirasi rakyat yang mahukan kehidupan yang lebih baik untuk mereka.
''Usaha ini akan diteruskan dan kerajaan tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang mahu menggagalkan matlamat mulia ini," katanya.
Oleh itu Mohamad menyeru rakyat dapat bersama-sama membangunkan negeri ini ke arah lebih baik dan menjadikan pencapaian 2012 sebagai peneraju kecemerlangan.
Sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment