Thursday 20 December 2012

NS catat peningkatan prestasi calon PMR

SEREMBAN - Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan prestasi pencapaian calon Penilaian Menengah Rendah 2012 secara keseluruhan apabila mencatatkan penurunan Gred Purata Negeri (GPN) pada kadar 2.65 berbanding 2.66 peratus pada tahun lalu.

Berdasarkan statistik, seramai 19,538 calon
menduduki peperiksaan tersebut di meliputi semua jenis sekolah dan 18,161 merupakan calon dari sekolah kerajaan.

Daripada 18,161 calon sekolah kerajaan, 1,500 pelajar mewakili 8.3 peratus berjaya memperoleh keputusan penuh gred A dalam kesemua subjek meliputi keputusan 9A, 8A dan 7A.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran negeri, Pkharuddin Ghazali berkata, penurunan kadar GPN negeri itu secara tidak langsung membolehkan negeri ini berada pada kelompok lima terbaik prestasi PMR 2012 di peringkat kebangsaan.

"Ini merupakan satu perkembangan yang baik bagi negeri ini di mana nilai GPN menurun sebanyak 2.65 berbanding 2011 pada kadar 2.66 dan 2.70 bagi 2010.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon yang telah berjaya memperoleh keputusan cemerlang dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan serta komitmen khususnya warga pendidik, termasuk ibu bapa, '' katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan PMR 2012 di sini, semalam.

Jelasnya lagi, bagi tahun ini, seramai 12,555 (69.1 peratus) calon mencapai tahap penguasaan minimum dengan memperoleh sekurang-kurangnya gred D dalam semua mata pelajaran yang diambil.

"Berlaku sedikit penurunan sebanyak 0.3 peratus jika dibandingkan dengan pencapaian 2011 pada kadar 69.4 peratus," ujarnya.

Dalam pada itu, Pkharuddin memberitahu, prestasi pencapaian calon di sekolah luar bandar bertambah baik berbanding tahun lalu menerusi nilai GPN yang semakin mengecil di sekolah kawasan berkenaan.

"Manakala pencapaian kawasan bandar adalah stabil dengan mengekalkan nilai GPN. Jurang pencapaian keseluruhan antara calon bandar dan luar bandar ialah sebanyak 0.32 mengikut nilai GPN," jelasnya.

Sementara itu, Kolej Tunku Kurshiah (TKC), dekat sini mendahului senarai sekolah terbaik bagi keputusan PMR 2012 diikuti dengan Sekolah Menengah Sains Rembau.

No comments: