Friday 7 December 2012

Waspada risiko tanah runtuh - MB


SEREMBAN - Penduduk sekitar negeri ini yang menetap berhampiran kawasan cerun dan tebing dinasihatkan sentiasa berjaga-jaga terutamanya sepanjang musim hujan kerana dikhuatiri berisiko dilanda tanah runtuh.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata,
langkah berwaspada mampu mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sekali gus menjamin keselamatan dan nyawa penduduk.

"Saya menasihatkan penduduk di negeri ini terutamanya yang tinggal di kawasan cerun atau tebing supaya sentiasa memeriksa kediaman sekiranya ada tanda dan kesan rekahan atau runtuhan.

"Sekiranya terdapat tanda-tanda ini, segera maklumkan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan awal diambil serta bantuan dihulurkan," katanya di sini hari ini.

Mohamad berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini kelmarin.

Menurut beliau, perkara itu berikutan kawasan berkenaan amat berpotensi dilanda tanah runtuh terutamanya pada musim hujan ini.

"Hujan lebat berterusan dan berpanjangan boleh mengakibatkan rumah penduduk musnah.

"Kerajaan negeri amat prihatin dan sentiasa komited khususnya membabitkan aspek keselamatan awam," ujarnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: