Saturday, 8 December 2012

Berhati-Hati Di Musim Tengkujuh - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat mengingatkan penduduk yang berada di kawasan yang sering dilanda banjir supaya sentiasa berhati-hati sepanjang musim tengkujuh ini.

Beliau berkata mereka perlu mengambil langkah berjaga-jaga terhadap keselamatan keluarga terutamanya kanak-kanak agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini
selain berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan oleh agensi kerajaan jika diminta berbuat demikian.

Dalam entri terbarunya dalam blog 1Malaysia, Najib berkata bagi mengurangkan kesukaran semasa musim ini, beberapa agensi kerajaan dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan sentiasa bersiap sedia untuk membantu mereka yang terjejas.

Perdana Menteri juga meminta penduduk supaya sentiasa menjaga kebersihan sepanjang musim banjir bagi mengelak penularan penyakit.

"Pastikan makanan anda tidak tercemar dengan air banjir selain sentiasa mencuci tangan dengan bersih sebelum makan," katanya Perdana Menteri juga menasihatkan mereka yang tinggal di kawasan berkemungkinan dilanda banjir supaya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. "Perkembangan terkini mudah didapati dengan melayari laman web yang disediakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.portalbanjir.mkn.gov.my.

"Simpan nombor-nombor telefon penting seperti nombor ahli keluarga, jiran, balai polis terdekat, bomba yang boleh dihubungi semasa kecemasan," katanya.

Menurut Perdana Menteri, setiap kerajaan di seluruh dunia perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan menyediakan pelbagai langkah keselamatan untuk rakyatnya.

"Alhamdulillah, di negara kita jarang sekali berlaku bencana alam jika hendak dibandingkan dengan negara-negara lain. Rahmat yang diberi Allah kepada negara kita perlu disyukuri oleh setiap rakyat Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata hampir setiap tahun negara akan mengalami musim tengkujuh yang kebiasaannya berlaku pada November dan berkahir pertengahan Januari. -BERNAMA

No comments: