Wednesday, 12 December 2012

Pasar Karavan Pertama Di Negeri Sembilan Operasi Januari 2013


SEREMBAN -- Pembinaan Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar) di kilometer 12, Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat sini kini siap 95 peratus dan dijangka mula beroperasi pada hujung Januari 2013.

Pakar adalah konsep baharu pasar tani yang diperkenalkan oleh
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Pengarah Fama Negeri Sembilan A. Rahaman Suleiman berkata cawangan pertama Pakar di negeri ini yang dibina dengan kos RM3.7 juta di kawasan seluas 1.21 hektar menyediakan 81 unit ruang niaga, 101 tempat letak kereta, surau, tandas, kemudahan orang kurang upaya dan mesin ATM.

"Selain itu, ia juga berfungsi sebagai pasar sehari, pasar malam, 'up-town' dan medan makan malam untuk memberi peluang kepada para usahawan menambah pendapatan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, beliau mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Yunus Rahmat melakukan lawatan kerja ke Pakar di sini.

-- BERNAMA

No comments: