Friday, 14 December 2012

6,786 kakitangan awam NS dapat bonus

SEREMBAN - Kerajaan negeri hari ini mengumumkan untuk membayar bonus sebanyak satu setengah bulan gaji kepada 6,786 orang kakitangan awam di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bayaran bonus sebanyak sebulan gaji akan dibuat pada bulan ini manakala setengah bulan lagi telah dibayar sebelum perayaan Aidilfitri lalu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau berkata, berbeza dengan kerajaan Pusat, bayaran sebulan gaji dibuat untuk membolehkan para penjawat awam membuat persediaan bagi tahun hadapan terutamanya di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah.

“Kerajaan negeri berharap pembayaran bonus sebulan gaji ini dapat meringankan beban kakitangan awam membuat persediaan untuk tahun depan," katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri Sembilan 2013 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Dalam Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat, September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bayaran bonus kepada kakitangan awam akan dibuat sebanyak dua kali iaitu setengah bulan pada bulan ini manakala setengah bulan lagi pada Januari depan.

Sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd

 


No comments: