Monday 24 December 2012

BANDARAYA SEREMBAN: Persediaan sedang diatur sebelum isytihar.

SEREMBAN - Segala persediaan sedang diatur oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) sebelum kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu diisytiharkan sebagai bandar raya Seremban.

Yang Dipertua MPS dan MPN Datuk Abd Halim Abd Latif berkata penggabungan kedua-dua PBT ini menjadi bandar raya perlu penelitian.

"Penelitian tersebut termasuk dari segi kewangan, penduduk, cukai, pasarana dan sebagainya kerana semua ini perlu diselaraskan. Kita telah mula dua tahun lalu membuat perancangan termasuk dari segi mengindahkan Seremban dan Nilai serta memastikan infrastruktur yang sedia ada dapat ditadbir dan diurus dengan baik," katanya selepas majlis penghargaan media MPS/MPN di sini, kelmarin.

Kabinet baru-baru ini meluluskan penggabungan kedua-dua PBT tersebut untuk membuka laluan pembentukan sebuah entiti baru bagi bandar raya Seremban.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata kelulusan itu merupakan permulaan baik untuk memastikan langkah berkaitan dapat diambil di kawasan PBT tersebut khususnya berkaitan infrastruktur sebelum status bandar raya berkenaan diisytiharkan.

Katanya kerajaan negeri tidak akan tergesa-gesa untuk mengisytiharkan status itu yang mungkin dilakukan pada tahun hadapan kerana yang penting semua kemudahan asas dan awam berada dalam keadaan baik terlebih dahulu, selain memastikan hasrat melihat sebuah bandar raya selamat dapat dicapai.

Mohamad juga berkata sebelum ia dinaik status sebagai bandar raya, ia perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan juga Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Abd Halim berkata walaupun kerajaan telah bersetuju penggabungan MPS dan MPN sebagai bandar raya, namun dari segi penyelenggaraan dan infrastruktur, ia perlu dikemas dan dipertingkatkan lagi sebelum ia dilancarkan secara rasmi.

Mengenai tarikh pengisytiharan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan menentukannya.

No comments: