Thursday 13 December 2012

130 sertai Minda Sihat Warga Emas

SEREMBAN  - Lebih 130 orang pelbagai kaum dan peringkat umur daripada pertubuhan yang bergabung di bawah Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) negeri ini menyertai program Jom Relaks: Minda Sihat Warga Emas di sini baru-baru ini.

Yang Dipertua NCWO negeri, Raja Datin Seri Salbiah Tunku Nujumuddin berkata,
program itu sebahagian pengisian kempen sayangi warga emas yang dilaksanakan kerajaan tahun ini.

Beliau berkata, program itu melibatkan dua sesi ceramah bertajuk Minda Sihat dan Saringan Minda Sihat oleh Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Seremban, Dr. Nor Asiah Hashim dan pakar dari Teknik Interbensi Minda Sihat, Klinik Kesihatan Seremban 2, Dr. Siti Nurbaya Shahrir.

"Mengikut bancian penduduk 2010, terdapat 2.2 juta warga emas di negara ini iaitu lapan peratus daripada populasi penduduk di Malaysia. Dijangkakan pada 2020, jumlah warga emas akan meningkat kepada 3.4 juta orang.

"Kajian kesihatan tahun lalu menunjukkan 36.2 peratus daripada warga emas yang berumur 60 hingga 64 tahun disahkan menghidap penyakit seperti diabetes, kolesterol tinggi dan tekanan darah tinggi.

"Jadi program seperti ini amat baik dan bertepatan kerana memberi ilmu kepada kita semua dalam menghadapi hari tua yang pasti tiba," katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.

Program itu dianjurkan Persatuan Wanita Prihatin Negeri Sembilan (Perwatin NS) dan Panel Penasihat Kesihatan, Klinik Kesihatan Ampangan.

Raja Salbiah berkata, ilmu yang diperoleh melalui program itu perlu dimanfaatkan dan dikongsi bersama ahli keluarga yang lain dalam menempuh alam usia tua dengan lebih teratur dan baik.

RAJA Salbiah Tunku Nujumuddin (tengah) bersalaman dengan ahli NCWO sebelum merasmikan program Jom Relaks: Minda Sihat Warga Emas di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: