Thursday 6 December 2012

Askar Wataniah diingatkan supaya sentiasa siap siaga.

SEREMBAN: Sukarelawan yang menyertai Askar Wataniah diingatkan supaya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan bersedia berkhidmat apabila diperlukan kelak.

Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Sembilan, Brigadier Jeneral (Kehormat) Datuk Seri Utama Hj.Mohamad Hj. Hasan berkata, tahap kekuatan mental dan fizikal hendaklah kental apatah lagi apabila memikul tanggungjawab mempertahankan keamanan negara.

''Sebab itu, saya tegaskan setiap latihan mahupun seminar berbentuk kekuatan fizikal, lasak dan ujian mental ini hendaklah diikuti dengan serius serta tidak dipandang remeh" ujar beliau.

''Selaku penaung, saya akan memberikan sokongan padu dalam sebarang bentuk latihan yang terasnya untuk mempertahankan negara, membina keamanan dan kesejahteraan rakyat," katanya sewaktu menutup Latihan Kem Tahunan Siri 1/2012 tersebut di kawasan Latihan Medan, Felcra Bukit Kepong, Jementah, Johor semalam.

Hadir sama Komander Rejimen 508 Askar Wataniah, Brigadier Jeneral Datuk Mohd. Shahrom Mohamad dan Timbalan Komander Rejimen 508 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mahadi Abu.

Mohamad yang juga Menteri Besar memberitahu, dalam latihan selama 15 hari di Johor ini, sukarelawan Askar Wataniah telah dikekalkan momentum jati diri, ketahanan yang maksimum serta tidak goyah apabila berhadapan serangan musuh, sama ada dalam bentuk visual mahupun peperangan pemikiran.

''Kita belajar ilmu ketenteraan, kita kuatkan rohani dan disiplin. Apabila balik kelak, bawalah semangat ini ke arena pekerjaan dan sama-samalah membantu menghindarkan apa juga bentuk kekacauan serta perkara yang mengganggu-gugat ketenteraman awam," kata Mohamad.

Pada majlis itu, sebanyak 106 ahli sukarelawan wataniah yang terdiri daripada kakitangan kerajaan dan swasta dari negeri ini telah menamatkan Latihan Kem Tahunan Siri 1/2012 semalam.

''Tahniah kepada semua kerana berjaya menyahut seruan kerajaan bagi memastikan keamanan dan ketenteraman negara menjadi agenda utama.

''Kita tidak tahu bila-bila masa kita akan dipanggil dan dikehendaki untuk bertugas menjadi benteng pertahanan negara. Kita perlu bersedia dalam bentuk fizikal mahupun mental di tahap yang maksimum," tegas beliau.

© Utusan Melayu (M) Bhd


KLIK TAJUK DIBAWAH & SAKSIKAN FOTO UPACARA


No comments: