SEREMBAN - Usianya baru sahaja 16 tahun, tetapi sudah pandai menunjuk lagak biadab terhadap penjawat awam yang sedang melaksanakan tugas.
Apa tidaknya, remaja lelaki berkenaan bertindak luar batasan dengan mengacah-acah mahu melanggar pihak berkuasa dengan motosikalnya ketika sekatan jalan raya dilakukan oleh sekumpulan anggota penguat kuasa yang sedang bertugas.
Remaja berkenaan yang dikatakan tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan, bertindak cuba melarikan diri selepas menyedari sekatan jalan raya diadakan.
Namun keberanian anggota penguat kuasa melaksanakan tugas, remaja berkenaan berjaya ditahan bersama dua lagi rakannya yang terdahulu sudah menyerah diri sebelum motosikalnya di sita dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Dato' Muda Linggi dekat sini semalam.
Dalam Operasi Khas Pra Perayaan yang dilancarkan oleh JPJ yang bermula pukul 8.30 hingga 12.30 malam tadi, menyaksikan 25 buah motosikal selain sembilan buah kereta disita selepas didapati melakukan kesalahan dengan memandu kenderaan tanpa cukai jalan dan lesen.
Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah berkata, operasi yang disertai oleh 70 anggota dari Rembau dan daerah ini turut menyaksikan 201 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain 77 notis arah periksa kepada pengguna jalan raya.
''Dalam operasi itu juga, kita dapati dua motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kita telah bertindak menyita kedua-duanya. Malah ada juga pengguna yang didapati melakukan pelbagai kesalahan seperti mengubah suai kenderaan, cukai jalan tamat tempoh dan sebagainya.
''Operasi seperti itu akan kita teruskan untuk tempoh masa terdekat bagi memastikan peningkatan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan apatah lagi menjelang musim perayaan," katanya.
Sumber: http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment