Wednesday, 25 July 2012

Imigresen N.Sembilan tahan 58 warga asing

Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menahan 58 warga asing termasuk seorang wanita hamil lapan bulan dalam Ops 6P di tapak pembinaan perumahan Bandar Enstek dekat sini, hari ini.

Pengarahnya, Faizal Fazri Othman berkata, wanita terbabit adalah antara 118 warga asing yang diperiksa dan daripada jumlah itu, seramai 45 lelaki, 11 wanita serta dua kanak-kanak berusia satu dan lima tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Kesemua ditahan berumur antara 20 dan 40-an itu kebanyakannya tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa, menggunakan dokumen palsu dan menyalahgunakan pas lawatan," katanya selepas operasi tersebut.

Operasi selama tiga jam mulai 10 pagi itu membabitkan 178 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen negeri.

Faizal Fazri berkata, operasi itu diadakan hasil risikan yang dilakukan pihaknya sejak sebulan lalu.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 53 warga Indonesia empat Vietnam dan seorang Myanmar.

Katanya, sembilan warga Indonesia turut dikesan cuba mengelirukan pihak berkuasa apabila menunjukkan slip pendaftaran MyPermit kononnya membenarkan mereka bekerja di negara ini tanpa perlu merujuk kepada Jabatan Imigresen.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung pengeluaran dokumen berkenaan dan akan mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit.

"Semua yang ditahan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut," katanya.
- BERNAMA

No comments: