Keaiban yang dialami kuartet 4x400 meter akibat dilucutkan pingat emas Sukan SEA wajar dijadikan iktibar oleh semua atlet kebangsaan agar tidak terlalu mudah mempercayai orang lain, termasuk jurulatih dan pegawai sendiri, kata Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi.
Malah tambah Kok Chi, seandainya perlu atlet mengingkari arahan jurulatih atau pegawai kerana meragui keputusan mereka, maka ia wajib dilakukan kerana pada akhirnya atlet itu sendiri yang akan menanggung segala akibat.
Beliau terpanggil mengeluarkan peringatan tersebut rentetan daripada nasib malang yang menimpa kuartet 4x400m negara yang kehilangan emas Sukan SEA selepas salah seorang anggotanya, Mohd. Yunus Lasalleh disahkan positif doping.
Yunus mengakui tidak bersalah dan mendakwa dia hanya mengikut arahan yang diberikan oleh seorang pegawai kanan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Atlet muda kelahiran Tawau itu juga telah membuat satu laporan polis dalam usaha membersihkan namanya dan siasatan kes tersebut masih berjalan sehingga hari ini.
"Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai kes kuartet 4x400m dan KOM kerana ia masih dalam siasatan tetapi saya terpanggil untuk menasihati semua atlet kebangsaan supaya mengambil iktibar daripada insiden malang ini.
"Apa yang berlaku adalah sesuatu yang menyedihkan buat sukan tanah air. Saya minta semua atlet, tidak kira dari sukan olahraga atau sukan lain, jadikan ia sebagai satu pengajaran.
"Mereka harus lebih bertanggungjawab terhadap apa yang mereka ambil atau makan, terutama ubat-ubatan sekalipun bahan tersebut diberikan oleh pegawai dan jurulatih sendiri.
"Kalau mereka mencurigai pemberian itu, mereka patut segera mengemukakan laporan atau merujuk kepada pihak-pihak berkenaan. Kalau terpaksa melawan sekalipun, mereka perlu melakukannya jika rasa ada sesuatu yang tidak kena, jangan sesekali mengambil mudah semua perkara," ujar Kok Chi.
Selain kuartet 4x400m, Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dalam mesyuarat di Myanmar, Sabtu lalu turut mengarahkan atlet angkat berat negara, Firdaus Abdul Razak memulangkan pingat gangsa acara clean & jerk kategori 94-105 kilogram yang dimenangi di Palembang, juga kerana positif doping.
Kuartet 4x400m Malaysia, yang turut diperkuatkan oleh Sehzuan Ahmad Rosely, P. Yuvaraaj serta S. Kannathasan melakar kejutan besar apabila mengalahkan Filipina dan Thailand untuk memenangi pingat emas, meskipun hadir di Palembang pada saat akhir kerana tidak diberi harapan.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Kok Chi ketika diminta mengulas mengenai status jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk menyertai perarakan kontinjen Malaysia pada upacara pembukaan Sukan Olimpik London, 27 Julai ini berkata, segala keputusan terpulang kepada Ketua Kontijen, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
"Kuasa untuk menentukan siapa yang akan menyertai perarakan terletak di tangan Ketua Kontinjen. Jadi terpulanglah kepada beliau sama ada mahu membenarkan Chong Wei berada dalam kontinjen pada malam itu atau tidak.
"Saya dan MOM tidak mahu mencampuri urusan (pemilihan) ini, biarlah orang yang sewajarnya membuat pertimbangan terbaik,'' ujarnya ringkas.
No comments:
Post a Comment