Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menasihatkan orang ramai tidak panik berikutan ada laporan tiket bas ke Pantai Timur untuk sambutan Aidilfitri, habis dijual.
Permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) untuk bas tambahan sempena perayaan masih dibuka kepada pengusaha di seluruh negara, membolehkan mereka menggunakan bas sekolah, bas pekerja, bas catar, bas persiaran atau bas henti-henti sebagai tambahan.
Pengerusi SPAD, Tan Sri Hamid Albar, berkata setakat ini pihaknya baru menerima lebih 100 permohonan LPS sejak permohonan dibuka 16 Julai lalu dan akan berakhir 10 Ogos ini.
SPAD tidak menetapkan jumlah untuk LPS dikeluarkan, cuma tidak boleh untuk bas lebih 12 tahun atas faktor keselamatan. Tahun lalu, lebih 2,000 LPS dikeluarkan, katanya pada majlis berbuka puasa SPAD bersama media, di sini malam tadi.
Katanya, suruhanjaya itu menetapkan beberapa peraturan baru untuk LPS kali ini termasuk melarang penggunaan bas berusia tujuh hingga 12 tahun untuk jarak perjalanan lebih 300 kilometer.
Perjalanan lebih 300 kilometer hanya untuk bas tujuh tahun ke bawah, itu pun pemandu mesti berhenti rehat setiap empat jam katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan tiket bas ke Pantai Timur habis angkara pihak tertentu yang membeli semua tiket untuk dijual semula pada harga lebih tinggi.
No comments:
Post a Comment