Friday, 27 July 2012

Kegigihan wanita berniaga di Ampangan

Menyusuri kesesakan orang ramai yang berpusu-pusu membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Ampangan di sini, sesekali kedengaran suara halus yang begitu lantang menarik perhatian pembeli.

Apa tidaknya dengan semangat yang kental itu, sekumpulan peniaga ini sentiasa sahaja mencuri tumpuan sehingga kadang-kala mencuit perasaan apabila bersaing dengan peniaga bertubuh sasa.
Mereka adalah 'srikandi bazar Ramadan' yang sekali gus membuktikan wanita juga mampu menggoncang kehangatan petang di bazar berkenaan dan mengutip keuntungan berlipat ganda.

Tinjauan di bazar itu hari ini mendapati 'srikandi' ini bagaikan pemimpin dunia yang tidak henti-henti menceritakan kehebatan masakan yang dihasilkan, di samping teriakan, 'murah... murah... sekali beli, esok datang lagi, lusa tercari-cari, lepas tu termimpi-mimpi.'

Apa yang menarik, peniaga wanita ini kini boleh membakar ayam panggang, memotong daging, memesin tebu dan mengangkat bebanan berat.

Menurut peniaga bazar Ramadan, Husna Abdullah, 41, yang mengusahakan ayam panggang, dia tidak pernah merasa malu untuk bersaing dengan peniaga lelaki di situ.

''Hendak seribu daya. Cuma apa yang perlu ada pada wanita hari ini ialah keberanian, kuat mental dan gigih bekerja.

''Takkanlah kita nak duduk di dapur sahaja. Sekurang-kurangnya, kami dapat membantu keluarga untuk mendapatkan pendapatan lebih, apatah lagi dalam musim perayaan ini," katanya.

Tambah Husna, wanita juga boleh menghasilkan kepelbagaian dalam masakan dan apa yang penting ia perlulah kreatif supaya pembeli sentiasa mengidam untuk makan masakan disediakannya.

''Kita perlulah menyesuaikan diri dalam keadaan sekitar kerana kaum wanita selalu dipandang dalam sudut yang negatif, lebih-lebih lagi ketika kami berteriak untuk menarik perhatian pelanggan.

''Biarlah apa orang hendak kata kerana yang penting kita berusaha dan mencari rezeki yang halal," katanya.

Kenyataannya itu disokong seorang lagi peniaga wanita di situ, Razilah Yusof, 52, dan menjelaskan betapa semangat yang kuat itu perlu dipastikan berkekalan sehingga ke akhir Ramadan.

''Sudah 32 tahun saya terlibat dengan perniagaan menjual pelbagai air minuman dan kuih tradisional pada bulan Ramadan.

''Banyak cabarannya. Kadang-kala untung dan ada ketikanya suram. Semua itu perlulah kita tempuhi kerana adat orang berniaga, begitulah ketentuan," kata anak jati negeri ini.

Tambahnya, dia mendapat inspirasi berniaga itu daripada ibunya dan legasi tersebut diteruskan olehnya.

''Saya ingin menasihatkan kepada peniaga wanita yang baru menceburkan diri dalam perniagaan ini, janganlah kita berhenti selepas mendapat hasil yang baik.

''Ini perlu kita teruskan supaya pembeli dapat mengenali kita dan ia akan menjadi mudah pada masa hadapan," ujarnya.

Kata Razilah, wanita perlu bangkit daripada tidur yang indah dan mengubah persepsi bahawa golongan ini mampu berjaya walaupun berniaga kecil-kecilan.

Apa pun kehadiran 'srikandi bazar Ramadan' ini memberikan satu lagi watak yang menarik dalam senario di bulan yang mulia ini, apatah lagi ia memang disarankan kerajaan agar lebih ramai menceburkan diri dalam bidang perniagaan ini.

Sumber: Utusan Online.

No comments: