Monday 30 July 2012

Orang Ramai Dijemput Sertai Pertandingan Keceriaan Merdeka 2012

SEREMBAN -- Orang ramai dijemput menyertai pertandingan Keceriaan Merdeka 2012 anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sembilan sempena Bulan Kemerdekaan.

Pengarah Jabatan Penerangan negeri Hashim Bedu berkata pertandingan ini memberi fokus utama kepada hiasan suasana keceriaan sambutan kemerdekaan serta kreativiti pengibaran Jalur Gemilang.

"Kategori pertandingan yang ditetapkan ialah bangunan kerajaan, bangunan swasta, kampung tradisi/kampung baru Cina/estet/Felda, sekolah, taman perumahan, individu (rumah kediaman/hiasan kenderaan), pintu gerbang dan anjung Komuniti 1Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Beliau berkata hadiah di peringkat kebangsaan bagi kategori bangunan kerajaan ialah RM3,000, bangunan swasta (RM3,000), kampung tradisi/kampung baru Cina/estet/Felda (RM10,000), sekolah (RM5,000), taman perumahan (RM10,000), individu (RM2,000), pintu gerbang (RM10,000) dan anjung Komuniti 1Malaysia (RM2,000).

Katanya tempoh pertandingan adalah dari 15 Julai hingga 31 Ogos dan penilaian peringkat negeri akan dilaksanakan mulai sekarang hingga 23 Ogos, manakala pemenang peringkat negeri bagi setiap kategori akan dicalonkan ke peringkat kebangsaan.

Borang penyertaan dan keterangan boleh didapati di Jabatan Penerangan, Tingkat 2, Wisma Persekutuan, Seremban atau telefon 06-7639800 dan semua Pejabat Penerangan Daerah.

-- BERNAMA

No comments: