Saturday 21 July 2012

Piala Malaysia: Bermula Aidilfitri keempat

Dua belas pasukan teratas Liga Super dan empat pasukan teratas Liga Perdana akan bersaing dalam Piala Malaysia musim ini bermula pada hari keempat Aidilfitri.

Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata langkah itu diambil kerana FAM ingin memberi lebih ruang kepada pasukan kebangsaan mempersiapkan diri bagi mempertahankan Piala Suzuki AFF, mulai November depan.


"Selain itu, kita turut mengambil kira Kelantan terbabit dalam suku akhir Piala AFC. Bagi kita tiada masalah setiap pasukan mula beraksi pada hari keempat Aidilfitri kerana perkara sama pernah berlaku sebelum ini,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pasukan Liga Super dan Liga Perdana di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM berkata, 12 pasukan teratas Liga Super dan empat pasukan teratas Liga Perdana terbabit dalam kejohanan kali ini dengan final akan berlangsung pada 20 Oktober depan.

KL dapat insentif RM23,216

Sementara itu, sebanyak RM5.44 juta hadiah wang tunai dan insentif diserahkan kepada kepada pasukan yang beraksi di Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM 2012.
Juara Liga Super, Kelantan menerima imbuhan paling tinggi hampir RM1.1 juta, iaitu sebagai juara sebanyak RM750,000 dan insentif RM325,024.

Ia diikuti pemenang tempat ketiga Liga Super, Selangor sebanyak RM578,592 (hadiah wang tunai RM300,000 dan insentif RM278,592) dan juara Liga Perdana, Tentera RM460,000 (hadiah wang tunai RM300,000 dan insentif RM160,728).

Walaupun menjadi Naib Juara Liga Super, wakil Singapura, Lions XII menerima hadiah wang tunai RM450,000 kerana insentif hanya diberikan kepada pasukan tempatan.

Pasukan tercorot Liga Super, Kuala Lumpur turut menerima insentif RM23,216 manakala pasukan tercorot Liga Perdana, MBJB menerima RM13,394.

Hamidin berkata, nilai hadiah wang tunai dan insentif akan kekal untuk musim 2014 seperti diputuskan sebelum ini.


PENJARING terbanyak (15 gol) Liga Super, Francis Forkey Doe (kanan) dari Terengganu dan penjaring terbanyak (27 gol) Liga Perdana, Khairul Izuan Abdullah dari PDRM, memperagakan kasut emas masing-masing di Wisma FAM, semalam.
Sumber: BHOnline

No comments: