Tuesday 27 November 2012

YNS tawar insentif menarik

SEREMBAN  - Yayasan Negeri Sembilan (YNS) akan terus memberikan tumpuan kepada bidang pelajaran dengan melaksanakan dasar-dasar yang mampu melonjakkan pencapaian para pelajar negeri berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata,
antara dasar itu ialah menawarkan insentif yang menarik kepada para pelajar yang cemerlang.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YNS berkata, sejak 2005 YNS telah memberikan insentif sebanyak RM3.5 juta kepada 496 pelajar cemerlang yang berasal dari negeri ini.

"Pemberian insentif ini akan diteruskan bagi meningkatkan semangat para pelajar untuk terus cemerlang dalam pelajaran hingga mengharumkan nama Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan dan Makan Malam Mahasiswa Anak-Anak Negeri Sembilan (Semanis) di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

MOHAMAD Hasan (tengah) bersama para pelajar Negeri Sembilan yang menuntut di Unimas selepas menyampaikan cek bernilai RM10,000 di Unimas, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.
Sebanyak 250 pelajar anak Negeri Sembilan yang sedang menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan 60 anak negeri yang bekerja di negeri ini menyertai majlis perjumpaan anjuran YNS itu.

Yang turut hadir Naib Canselor Unimas, Prof. Datuk Dr. Khairuddin Ab. Hamid dan Pengarah YNS, Jamaludin Abu Bakar.

Sebagai rekod, Mohamad memberitahu, pada tahun 2005, tidak sampai empat orang anak Negeri Sembilan di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara yang berjaya meraih ijazah sarjana muda kelas pertama kepujian.

"Berikutan itu, YNS telah melaksanakan dasar menawarkan insentif sebanyak RM25,000 kepada mana-mana pelajar yang mencapai ijazah sarjana muda kelas pertama kepujian," ujarnya.

Hasilnya, kata beliau, pada 2006, seramai lapan orang telah mencapai kelas pertama kepujian, meningkat 20 orang (2007), 48 orang (2008) dan 60 orang (2009).

Tambahnya, sehingga September lalu, sebanyak 102 orang telah mencatatkan pencapaian tersebut.

Beliau berkata, pada masa ini, YNS menawarkan pinjaman kepada mana-mana graduan lepasan ijazah yang ingin melanjutkan pelajaran secara sepenuh masa ke peringkat sarjana dan doktor falsafah.

"Melalui tawaran itu, sebanyak 80 orang sedang mengikuti pengajian di peringkat sarjana dan tiga orang di peringkat doktor falsafah," katanya.

No comments: