REMBAU - Orang ramai seringkali mengabaikan gejala penyakit tidak berjangkit kerana tiada tanda awal sehinggalah pesakit sampai ke tahap kronik.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Zainuddin Mohd. Ali berkata, sindrom alpa itu kadangkala dipandang remeh, sedangkan mempunyai hubung kait dengan amalan pemakanan yang sihat.
''Penyakit tidak berjangkit yang dimaksudkan ialah lemah jantung, diabetes, stres, obesiti dan darah tinggi," katanya dalam program Kempen Cara Hidup Sihat peringkat negeri di Dewan Seri Rembau, kelmarin.
Menurut Zainuddin, kebiasaannya penyakit tidak berjangkit ini disebabkan orang ramai tidak ambil peduli keperluan pemakanan sihat, sebaliknya lebih rela menerima apa sahaja untuk dimakan sehinggalah membawa kesan terhadap kesihatan badan.
''Terdapat lima cara pemakanan yang sihat dan efektif yang patut diamalkan oleh setiap individu iaitu mengambil lima jenis sumber nutrien penting setiap hari seperti bijirin, sayur, ikan, daging, susu dan gula atau garam.
''Selain itu, banyakkan makan sayur dan buah, amalkan mengira kalori makanan yang akan diambil dan hadkan 1,500 kalori sehari.
''Selebihnya ialah mengehadkan pengambilan gula hanya satu sudu teh sehari dan bersenam sekurang-kurangnya 30 minit, tiga kali seminggu," katanya.
Tentang kempen yang dijalankan di sini bakal melahirkan masyarakat yang sihat dan terhindar daripada segala jenis penyakit.
''Kempen kali ini yang bertema Jom Cegah Penyakit Tidak Berjangkit, lebih memfokuskan kepada cara dan kepentingan mengamalkan amalan hidup yang sihat dan mencegah penyakit yang tidak berjangkit," jelasnya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Zaifulbahri Idris berkata, di negeri ini hanya 64 peratus daripada penduduk keseluruhannya mengamalkan cara hidup sihat termasuk senaman dan bersukan.
No comments:
Post a Comment