Tuesday, 13 November 2012

Kompaun RM1,000 buang sampah

SEREMBAN  - Individu yang membuang sampah di tempat awam bakal dikenakan kompaun mencecah RM1,000 oleh pihak penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA).

Pengarah PPSPPA negeri, Mohd. Azhar Abdul Hamid berkata, tindakan itu dijalankan melalui penetapan dan pelaksanaan di bawah undang-undang penguatkuasaan agensi tersebut berkuat kuasa awal bulan ini.

"Undang-undang baharu ini bertujuan memastikan orang ramai lebih bersikap bertanggungjawab sekali gus menjaga serta memulihara persekitaran dan keindahan alam sekitar.

"Pada peringkat awal ini, kami telah melantik seramai 70 pegawai serta anggota bagi menjalankan aktiviti pemantauan serta penguatkuasaan di sekitar negeri ini," katanya.

Jelasnya lagi, kesemua anggota yang dilantik itu akan ditugaskan untuk meronda kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan pembuangan sampah haram.

"Pemantauan tersebut turut melibatkan tugas mengawal selia syarikat konsesi di setiap daerah," ujarnya.

Tambah Mohd. Azhar, berdasarkan rekod, penduduk negara ini menyumbang kepada penghasilan kira-kira 24,000 tan metrik sampah sehari dan jumlah tersebut dijangkakan meningkat kepada 30,000 tan metrik sehari menjelang 2020.

"Ini merupakan cabaran jangka panjang yang perlu dipantau dalam usaha menjayakan transformasi pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam," katanya.

No comments: