Thursday 1 November 2012

Cabaran 4x4 di atas pasir Telok Kemang

TELOK KEMANG - Sebanyak 16 kenderaan pacuan empat roda (4x4) mengambil bahagian dalam Port Dickson International Sand Challenge (PDISC) 2012 bagi merebut Piala Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Pantai Cahaya, Port Dickson dekat sini baru-baru ini.

Acara 4x4 di atas pasir itu bukan sahaja yang pertama di
Malaysia, malah di Asia Tenggara dan ini merupakan acara tahunan kali kelima berturut-turut di daerah Port Dickson.

Pengarah Teknikal Program, Dr. Zaini Shaarani memberitahu, lazimnya saingan pacuan empat roda akan memasuki hutan rimba dan tanah yang becak serta berlumpur untuk membuktikan keupayaan masing-masing. "PDISC adalah berlainan dan unik kerana para peserta perlu menempuhi halangan berpasir 100 peratus.

"Program ini juga memberikan peluang kepada orang ramai menyaksikan secara langsung berbanding acara di dalam hutan yang sukar untuk dilihat orang awam," katanya kepada media baru-baru ini.

Menurutnya, program selama tiga hari itu melibatkan tiga lokasi iaitu Pantai Saujana, Pantai Cahaya Negeri dan Pantai Selesa dengan dimeriahkan program sampingan termasuklah pameran kenderaan Kelab 4×4, konvoi 100 buah kenderaan kelab 4×4, Night Mini Challenge, Tree Climbing dan Autoshow Lambareta.

Jelasnya, setiap pantai mempunyai halangan yang tersendiri dan para peserta dikehendaki menghabiskan kesemua halangan itu dalam tempoh lapan jam bermula pukul 10.30 pagi hingga 6.30 petang. "Kita mempunyai sebanyak 20 halangan yang bermula daripada mudah sehingga paling mencabar," jelasnya.

Katanya, program itu dijalankan setiap tahun sebagai meraikan ulang tahun keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Turut hadir ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan. "Sambutan yang diterima sehingga kini amat menggalakkan. Pada masa akan datang kita akan menarik lebih ramai peserta dari luar negara untuk menyertainya," tambahnya.

Pada pertandingan kali ini, pasangan Raja Azlan Raja Ahzan dan Norizan Othman diumumkan sebagai johan dengan mencatatkan masa 2 jam 11 minit. Mereka membawa pulang wang tunai RM3,000, sijil penyertaan dan piala iringan. Naib johan memenangi wang tunai RM2,000, sijil penyertaan dan piala diraih pasangan Wan Jamaluddin Mohd. Remi dan Mohd. Zunawanis Ludin dengan masa 2 jam 34 minit. Tempat ketiga dimenangi Lim Yee Keong dan Ajit Pal Singh dengan masa 2 jam 40 minit yang membawa pulang RM1,000, sijil penyertaan dan piala.

Tuanku Muhriz telah berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Sumber: Utusan.

No comments: