Monday 5 November 2012

12,000 pelajar NS khatam al-Quran

SEREMBAN - Usaha kerajaan negeri melahirkan insan intelek yang berkemahiran dalam ilmu pembacaan al-Quran dibuktikan apabila hampir 12,000 pelajar tahun enam seluruh negeri ini berjaya katam al-Quran pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata,
perkembangan itu adalah hasil daripada Kelas Agama Petang (KAP) yang dibuat sejak 2004 dan membawa banyak kebaikan kepada pelajar sekolah yang terlibat.

"Kita laksanakan program ini kerana mahu melihat anak-anak Islam di negeri ini tidak ketinggalan dalam pendidikan Islam, khususnya dalam aspek fardu ain dan fardu kifayah serta dapat menguasai al-Quran dengan baik," katanya.

Beliau berucap menutup majlis khatam al-Quran pelajar tahun enam daerah ini di Masjlid Kuarters KLIA, Nilai, dekat sini malam tadi.

Katanya, hanya negeri ini sahaja yang melaksanakan KAP di sekolah rendah sama ada sekolah kebangsaan biasa, Orang Asli, pendidikan khas mahupun Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

"Daripada 214 buah sekolah yang melaksanakan KAP ini, di samping 64 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) terdapat juga tujuh buah SJK Cina mengadakan KAP melibatkan pelajar Islam di sekolah berkenaan.

"Ini satu perkembangan yang amat membanggakan dan kita berharap dapat diperluaskan lagi di seluruh sekolah di negeri ini," katanya.

Ketika ini, menurut Mohamad, sebanyak 45,748 pelajar di semua sekolah rendah berpeluang mengikuti KAP dan SAR termasuk Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang diuruskan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

"Usaha yang dilakukan ini merupakan contoh kerjasama yang baik daripada semua pihak khususnya penerapan nilai murni dan keagamaan kepada generasi awal agar wujud kesejahteraan ummah di negeri ini sekali gus melahirkan golongan pendidik, pendakwah, cendekiawan Islam dan sebagainya selaras dengan keperluan dalam arus pembangunan negara," katanya.

Menurut beliau, tiada gunanya jika seseorang itu berjaya dengan keputusan cemerlang tetapi kosong jiwanya tanpa rasa cinta kepada al-Quran.

 "Jiwa kita perlu diisi dengan keimanan dan sebab itulah kita lihat hari ini terlalu banyak penyakit dalam masyarakat yang berpunca daripada kurangnya didikan agama," jelasnya.

Menteri Besar beramah mesra dengan sebahagian daripada 6,000 pelajar tahun enam sekolah dalam daerah Seremban ketika menyertai Majlis Khatam al-Quran di Masjid Kuarters KLIA, Nilai, malam tadi.

No comments: