Friday 9 November 2012

Banjir masih terkawal di NS.

SEREMBAN - Keadaan banjir di negeri ini terkawal apabila kesemua mangsa yang dipindahkan awal pagi tadi di pusat pemindahan banjir Kampung Keru Hilir, Tampin, sudah pulang ke rumah masing-masing petang ini.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, seramai 34 orang dari sembilan keluarga
dipindahkan awal pagi tadi selepas rumah masing-masing dinaiki air hampir satu meter sekitar pukul 11 malam tadi.

Katanya, laporan yang sama juga dinyatakan dalam Portal MKN hari ini, menjadikan Negeri Sembilan negeri terbaru dilanda banjir selepas Melaka, Johor, Perak dan Selangor. ‘‘Ketika ini semua mangsa dalam proses untuk balik ke rumah, bagaimanapun MKN dan agensi penyelamat diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya hujan lebat kembali melanda," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, orang ramai yang ingin mengetahui status banjir di kawasan masing-masing, boleh menyemak melalui portal MKN setiap hari.

Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Tampin, Shahrulnizam Mad Shah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan malam tadi untuk membantu pemindahan mangsa banjir ke kawasan selamat di surau berdekatan Kampung Keru Hilir itu. ‘‘Seramai 12 anggota JPAM dengan bantuan sebuah bot, lori dan pacuan empat roda telah dihantar membantu memindahkan mangsa di situ. ‘‘

"Semuanya berjalan lancar dan operasi tamat sekitar 1 pagi tadi dengan semua berjaya dipindahkan tanpa kesulitan," katanya.

Timbalan Pentadbir Tanah Daerah Tampin, Mohd. Amin Ludin pula berkata, kesemua mangsa ditempatkan di surau kampung itu telah dibekalkan dengan pelbagai keperluan seperti selimut, kain, makanan ringan, tikar dan minuman.

Sementara itu, hujan lebat masih lagi melanda negeri ini hari ini dan pihak berkuasa sedang memantau perkembangan terkini, selain bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

Sumber: Utusan

No comments: