SEREMBAN - Jabatan Perikanan Negeri Sembilan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menjalankan kegiatan menangkap ikan melalui kaedah terlarang terutamanya di sungai sekitar negeri ini.
Pengarahnya, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, pihaknya akan menjalankan aktiviti penguatkuasaan dengan menahan individu terlibat untuk dikenakan hukuman di bawah Akta Perikanan 1985.
''Individu yang didapati menjalankan kaedah terlarang seperti meracun, menggunakan bom, renjatan elektrik untuk memperoleh hasil ikan berhadapan dengan hukuman denda termasuk penjara.
''Jika didapati bersalah, inividu yang terlibat boleh dihukum denda hampir RM20,000 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali di bawah akta berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jelasnya lagi, kegiatan haram itu membawa pelbagai kesan negatif seperti pencemaran sungai, menjejaskan kitaran hidup akuatik dan sumber protein kepada penduduk setempat terutamanya di kawasan pendalaman.
''Malah sikap tamak mereka ini juga akan membantutkan serta merencatkan tumbesaran ikan selain menjadi punca utama spesies ikan air tawar diancam kepupusan," ujarnya.
Justeru Wan Muhammad Aznan meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan kepada pihaknya jika didapati ada pihak yang menjalankan kegiatan tersebut.
''Kita sememangnya memantau kegiatan ini secara berkala di sungai yang dikenalpasti menjadi lokasi tumpuan pihak tidak bertanggungjawab ini seperti di sekitar Kuala Pilah, Jelebu, Jempol dan Tampin.
''Tetapi kita juga memerlukan kerjasama orang awam terutamanya penduduk setempat bagi membantu pihak kami membanteras masalah ini," katanya.
Tegasnya lagi, sepanjang tahun ini pihaknya telah menerima beberapa aduan berhubung kegiatan tersebut, namun gagal menahan pihak yang terlibat.
''Apabila anggota kami tiba mereka berjaya melarikan diri, tetapi kita berjaya merampas perlatan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan haram ini," ujarnya.
Sumber: © Utusan Melayu
No comments:
Post a Comment