KUALA LUMPUR - Sebanyak 481,424 calon akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bermula esok sehingga 16 Okt ini di 3,560 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran hari ini, mereka melibatkan 448,436 calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, manakala 5,846 calon adalah dari sekolah di bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Seramai 10,051 calon lagi adalah dari sekolah menengah agama negeri, 13,728 calon sekolah swasta, 1,151 calon persendirian dan 2,212 calon sekolah menengah agama rakyat.
Sementara itu di JOHOR BAHRU, Pengarah Pelajaran Johor Mohd Nor A.Ghani berkata sebanyak 58,138 calon dari 279 buah sekolah di negeri itu akan menduduki PMR tahun ini. "Sebanyak 396 pusat peperiksaan dibuka yang melibatkan 3,411 jumlah petugas.
Ia melibatkan 93 penyelia kawasan, 396 ketua pengawas, 396 pembersih bilik dan 2,526 pengawas peperiksaan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mohd Nor berkata terdapat dua calon yang menduduki peperiksaan sebagai calon tahanan iaitu di Pusat Pemulihan Akhlak Kempas, di sini.
Selain itu, 17 calon rabun, 31 calon pekak dan bisu serta seorang calon buta turut menduduki PMR kali ini, katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment