Wednesday, 10 October 2012

USIM himpun cendekiawan

SEREMBAN  - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya menghimpun golongan cendekiawan dan profesional dari dalam dan luar negara menerusi penganjuran Persidangan Antarabangsa Kepimpinan Islam (ICIL) 2012 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Persidangan yang turut mendapat kerjasama Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept) itu telah disertai oleh 400 peserta yang terdiri daripada pegawai, penyelidik, ahli akademik, pemain industri termasuk penuntut universiti dari negara Islam.

Menurut Pengarah Persidangan, Prof. Dr. Zulkiple Abd Ghani, persidangan tersebut turut membariskan tokoh pemimpin dan cendekiawan Islam dari sekitar Asia yang dijemput khas bagi menyertai persidangan kali kedua itu.

''Mereka turut serta dalam setiap sesi pembentangan kertas kerja selain berkongsi ilmu dan penemuan terkini sekali gus mengutarakan kekuatan dan kelemahan intelek Islam dalam bidang kreativiti dan inovasi.

''Persidangan ini turut menjadi platform terbaik bagi menghebah serta mempromosikan kejayaan Islam dalam bidang kepemimpinan, sains dan teknologi, inovasi, keusahawanan dan pengkomersialan kepada para peserta," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau yang juga Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM berkata, sebanyak 48 kertas kerja telah dibentangkan pada persidangan tersebut meliputi pelbagai bidang khususnya membabitkan aspek kepimpinan Islam.

''Persidangan kali ini turut membuka peluang kepada ahli akademik dari dalam dan luar negara untuk membentangkan hasil kajian mereka dalam tiga sesi sidang yang dijalankan

''Antara isu yang dikupas termasuk transformasi dan kuasa, sumbangan sarjana Islam dalam bidang keusahawanan dan komersial, cabaran dan prospek sarjana Islam di Asia, wanita dan kuasa serta kepimpinan Islam," katanya.

Khaled Nordin (tengah) bersalam dengan peserta termasuk tokoh jemputan pada Persidangan Antarabangsa Kepimpinan Islam 2012 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Antara tokoh yang hadir ialah Penasihat Sains Kebangsaan Pejabat Perdana Menteri, Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid; Profesor di Jabatan Sains Politik Universiti Kebangsaan Singapura, Prof. Dr. Hussin Mutalib; Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Asma Ismail; Presiden Mindanao State University, Filipina, Prof. Dr. Macapado A. Muslim; Pengarah Pusat Sains Halal, Chulalongkorn University, Thailand, Prof. Dr. Winai Dahlan dan Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Mohd Yusof Othman. Persidangan yang dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin itu dihadiri oleh peserta dari Iran, Indonesia, Brunei, Thailand, Palestin, Mesir, Sri Lanka, Filipina, Libya, Somalia, Nigeria dan India.

Sumber: Utusan Melayu

No comments: