Tuesday 30 October 2012

Kawasan didakwa ada emas diarah tutup

SEREMBAN - Kerajaan negeri mengarahkan supaya lokasi terowong di pekan Titi, Jelebu yang didakwa wujud emas ditutup serta-merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) berkata, penutupan kawasan itu bertujuan mengelak sebarang tragedi selain tidak dapat dipastikan ketahanan struktur tanah di kawasan terowong terbabit.
''Kajian telah dilakukan di situ dan ia tidak mempunyai deposit emas. Terowong yang ditemui ini telah digali dan bukannya bersifat semulajadi. Maka kita tidak tahu sejauh mana ketahanannya," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Mohamad diminta mengulas penemuan terowong di pekan Titi, Jelebu yang didakwa penduduk sebagai laluan pelombong emas suatu ketika dahulu, di mana kini mula menarik minat orang ramai mendekatinya.

Dalam sidang akhbar itu, Mohamad juga menjelaskan, banyak mitos berkaitan penemuan terowong ini termasuklah digunakan sebagai laluan pengganas komunis yang hendak ke Karak, Pahang.

''Saya ingatkan kepada orang ramai supaya tidak mendekati kawasan terowong ini dan kerajaan telah mengambil segala tindakan supaya ia diletakkan dalam kawasan merbahaya.

''Kita tidak mahu berlakunya tragedi buruk menimpa rakyat hanya kerana memasuki terowong yang belum dipastikan keselamatannya," jelasnya.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan dengan memetik Pengarah Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka, Musafar Hamzah berkata, kawasan pekan Titi pernah suatu ketika mempunyai aktiviti perlombongan emas.

Sumber: © Utusan Melayu

No comments: