SEREMBAN - Penduduk di sekitar Kuala Pilah dan Rembau bakal mengalami gangguan bekalan air sementara berikutan pelaksanaan kerja-kerja penyelengaraan Loji Rawatan Air (LRA) di kawasan berkenaan Selasa ini.
Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Azlan Abdul Aziz berkata, kerja penyelenggaraan dan mencuci membabitkan LRA Bukit, LRA Kuala Pilah dan LRA Pedas Lama, Rembau.
''Sehubungan itu, pihak Sains akan menjalankan penutupan sementara bekalan air yang akan mengakibatkan gangguan bekalan di sekitar kawasan terbabit seperti di Kuala Pilah bermula 10 pagi 16 Oktober sehingga 10 pagi keesokan harinya.
''Bagi kawasan sekitar Rembau pula, gangguan bekalan dijangkakan bermula 8 pagi Selasa sehingga 8 pagi keesokan harinya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, kerja penyelengaraan tersebut bertujuan menjamin mutu dan kualiti bekalan air berada pada tahap yang baik untuk disalurkan kepada pengguna.
''Bekalan air akan disambung semula secara berperingkat selepas waktu yang ditetapkan dan diharapkan pengguna dapat menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh tersebut.
''Bagaimanapun beberapa kawasan tinggi dijangka mengalami gangguan bekalan air lebih lama ekoran pemulihan sepenuhnya di lokasi terbabit yang akan mengambil masa," ujarnya.
Tambah Azlan, pihaknya akan cuba sedaya upaya untuk menyalurkan sumber bekalan air alternatif kepada penduduk terbabit sepanjang pelaksanaan kerja tersebut.
''Sains ingin memohon maaf atas kesulitan itu dan para pelanggan yang memerlukan bantuan diminta menghubungi talian bebas tol 1-800-88-6982," ujarnya
No comments:
Post a Comment