SEREMBAN - “Sudah genap dua minggu isteri saya tidak pulang” luah Jalaludin Nordin, 58, berhubung isterinya, Ani Hadijah Lili Sutarli, 44, yang menghilangkan diri tanpa sebarang berita.
Ani Hadijah yang merupakan warga Indonesia keluar rumah pada 12 Oktober lalu dengan alasan untuk mencari kerja.
“Isteri saya berkata dia mahu cari kerja di Seremban dan Kuala Lumpur. Saya mengizinkan walaupun pada asalnya saya tidak bersetuju kerana di tempat kami dekat Rantau pun banyak kerja," katanya.
Menurutnya, ini bukan kali pertama isterinya menghilangkan diri kerana Aidilfitri lalu pernah tidak pulang ke rumah selama empat hari.
"Ketika ditanya, Ani Hadijah hanya memberitahu dia tidak tahu dan hanya tidur dalam bas sepanjang tempoh menghilangkan diri.
Menurutnya, dia puas mencarinya dan bertanyakan kawan-kawan lama yang menetap di Kampung Pandan kerana di situlah dia mengenali isterinya sebelum berkahwin. “Saya yakin isteri saya masih berada di negara ini dan bukan kembali ke Indonesia," katanya yang mengakui memberi wang RM30 kepada Ani Hadijah sebelum meninggalkan rumah.
Malah, katanya, isterinya itu turut membawa beberapa helai pakaian dalam beg serta pasport.
Berikutan kehilangan isterinya, dia membuat laporan di Balai Polis Seremban, 27 Oktober lalu.
Orang ramai yang mengenali Ani Hadijah boleh menghubungi Jalaluddin di talian 014-7296483 atau menghubungi balai polis berhampiran.
No comments:
Post a Comment