Monday 1 October 2012

Padah dua premis curi air

SEREMBAN  - Perbuatan dua buah premis mencuri air selama ini membawa padah apabila aktiviti mereka itu berjaya dihidu pihak berkuasa dalam dua serbuan berasingan di sini.

Kedua-dua serbuan yang dilancarkan kira-kira pukul 5 dan 6 petang itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan
anggota Unit Penguatkuasaan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selepas mendapat maklumat dari orang ramai.

Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, serbuan mengejut pertama dijalankan di sebuah stor simpanan barang di Taman Rahang.

Ketika serbuan, premis tersebut didapati telah melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip High Density Polyethlene (HDPE) bersaiz 25 milimeter.

''Siasatan penguatkuasaan mendapati, bekalan air dari penyambungan tersebut untuk kegunaan harian pekerja premis," katanya di sini kelmarin.

Serbuan kedua pula melibatkan sebuah bengkel perabot di Bandar Seremban Selatan berikutan kesalahan melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip HDPE bersaiz 20 milimeter.

Kata Azlan, berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati air yang diperoleh melalui penyambungan tersebut disalurkan ke beberapa tempat termasuk bilik air di premis terbabit.

''Kes-kes ini disiasat di bawah Seksyen 89 (9) dan Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (AIPA) 2006. Denda yang diperuntukkan di bawah Seksyen 89 (9) adalah sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

''Seksyen 123(1) pula memperuntukkan denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Jelas Azlan, tindakan tegas itu adalah langkah berterusan pihaknya mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol SAINS 1-800- 88-6982.

No comments: