Tuesday 7 August 2012

Tubuh Kelab Warga Emas

SEREMBAN – Kampung Felda Sendayan, di sini perlu tubuh Kelab Warga Emas agar kebajikan golongan tersebut terpelihara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penubuhan kelab itu perlu memandangkan zaman ini, kebanyakan anak-anak sudah tidak mengambil berat terhadap kebajikan ibu bapa yang sudah tua.

“Kebanyakan ibu bapa yang uzur diabaikan anak-anak. Mereka lebih utamakan kerjaya dan keluarga sendiri daripada menjaga kedua-dua ibu bapa mereka.

“Setakat ini Kampung Sega, Taman Angsamas dan Kampung Seliau, Rantau sudah menubuhkan Kelab Warga Emas bagi membolehkan golongan ini berkumpul dan menjalankan pelbagai aktiviti,” katanya pada majlis penyampaian zakat Baitulmal dan bantuan hari raya kepada golongan memerlukan di Kampung Felda Sendayan, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama, isteri beliau, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin.

Mohamad dan Salbiah bersama penerima bantuan di Kampung Felda Sendayan, kelmarin. 
Sementara itu, katanya. Negeri Sembilan merupakan negeri pertama menjayakan kempen menyayangi warga emas yang dilancarkan Perdana Menteri, April lalu.

“Kita lancarkan kempen ini di peringkat negeri kerana kita tidak mahu anak-anak alpa pada tanggungjawab mereka.

“Sekiranya anak-anak sibuk dengan kerja, luangkanlah masa bercuti hujung minggu di kampung agar ibu bapa ceria dan gembira dapat berjumpa dengan anak-anak.

Pada majlis sama, Mohamad turut melawat Dewan Orang Ramai Kampung Sendayan, di sini yang baru siap dibina.

No comments: